Bernama
Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak terancam dengan tindakan bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal untuk
menerajui satu parti baharu dengan mengambil alih parti politik sedia ada di Sabah.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata
situasi bekas pemimpin berpaling tadah dan menubuhkan parti baharu bukan
sesuatu yang asing bagi BN dan UMNO.
"Saya percaya selagi kita (UMNO dan BN) bersatu padu dan setia
terhadap presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak), kita tidak perlu risau
situasi begini.
"Dia (Shafie) mahu cuba, saya ucapkan 'good luck and best of luck'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata UMNO yang ditubuhkan
pada 1946 merupakan sebuah parti yang mempunyai struktur yang kukuh.
"Sepanjang 70 tahun penubuhannya, UMNO berdepan dengan pelbagai
dugaan dan rintangan akibat kealpaan dan perbezaan pendapat yang berlaku
dalam kalangan anggota.
"Bukan sekali kita dikhianati, bukan sekali pemimpin kita berpaling tadah
dan menubuhkan parti baharu, banyak kali. Malah, kita terpaksa memikul masalah legasi terdahulu," katanya.
Selain itu, Tengku Adnan berkata semua anggota parti perlu
mengekalkan semangat BN yang merupakan tunjang utama kekuatan parti itu.
"Contohnya ketika UMNO lemah pada pilihan raya umum 1999, undi Cina
dan India menjadi penyelamat. Itu sebab kita kena kekalkan semangat BN
pada semua ... daripada pelbagai kaum," katanya.
-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan