HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 September 2016

Tiada temujanji, wakil pembangkang dihalang jumpa pengarah SPR

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin pembangkang hari ini cuba meredah pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan untuk mendesak badan itu menjelaskan lebih lanjut berhubung isu persempadanan semula.
 
Difahamkan Ahli Parlimen DAP Tan Kok Wai, cuba berjumpa dengan pengarah SPR Wilayah Persekutuan, Mohd Nazri Ismail sungguhpun tidak mempunyai temujanji.
 
Kok Wai mengesahkan pihaknya dimaklumkan SPR Wilayah Persekutuan semalam bahawa badan itu belum boleh menemui rombongan pembangkang.
 
"Saya beritahu pengarah (SPR) Nazri Ismail kelmarin bahawa rombongan Ahli Parlimen PH akan lawat SPR untuk mengetahui lebih lanjut secara terperinci, maklumat penerangan termasuk peta kawasan parlimen.
 
"(Namun) perkara ni  (perlu) dirujuk kepada penasihat SPR Putrajaya. (Selepas itu) semalam beliau memberitahu rombongan kami tak akan diterima secara rasmi," katanya kepada media hari ini.
 
Beliau berkata rombongan PH tetap hadir untuk menggesa SPR membatalkan persempadanan semula.
 
Perkara ini disahkan oleh Nazri yang memberitahu, bahawa badan itu tidak akan melayan sebarang perjumpaan berkaitan isu persempadanan semula.
 
"Kalau nak jumpa pasal persempadanan semula memang kita tidak layan. Mereka (pembangkang) datang ramai-ramai mungkin sebab nak buat demo, saya tidak tahu. Mungkin pengawal keselamatan halang awal-awal (atas faktor keselamatan). 
 
SPR sebelum ini menetapkan semua pihak termasuk parti politik mengemukakan sebarang bantahan bertulis terhadap badan itu sebelum 14 Oktober depan.  
 
Susulan itu SPR akan mengadakan inkuiri atau sesi pendengaran bagi menimbang bantahan berkenaan.
 
PH mendakwa cadangan persempadanan semula itu memihak Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.
 
Tuduhan itu disifatkan fitnah oleh Umno yang menegaskan parti itu sendiri juga terjejas di beberapa kerusi yang terbabit dalam cadangan persempadanan semula itu.
 
Malah SPR menegaskan, persempadanan semula itu dibuat mengikut peruntukan perlembagaan dan bukan untuk kepentingan mana-mana parti politik.
 
 

Tiada ulasan: