HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 September 2016

Mengkafirkan orang juga jenayah syariah, kata aktivis Melayu DAP

MALAYSIA DATELINE
 
 
Farhan Haziq MohamedFarhan Haziq Mohamed


Ketika Pas sibuk berkempen menyokong RUU 355 yang bakal dibentangkan presiden parti itu di Dewan Rakyat Oktober ini, seorang aktivis Melayu DAP mengingatkan bahawa mengkafirkan seseorang muslim juga termasuk dalam kategori 'jenayah syariah'.

Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Subang, Farhan Haziq Mohamed dalam tulisannya di Roketkini.com menjelaskan, hampir semua negeri di Malaysia mempunyai peruntukan mengenai takfiri dalam enakmen kanun jenayah syariah masing-masing.

"Baru-baru ini kita digemparkan dengan video ceramah YDP Pas Kawasan Padang Serai Shaharuddin Ibrahim yang telah mengeluarkan kenyataan untuk menanam Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di jirat sekiranya beliau tidak menyokong RUU 355 di Parlimen nanti.

"Kenyataan ini secara langsung cuba untuk mengkafirkan Datuk Seri Wan Azizah jika beliau tidak menyokong RUU 355.
"Sedarkah YDP PAS ini bahawa kenyataannya itu merupakan satu jenayah syariah dan boleh disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 24 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988?" ujarnya.
Menurut Farhan, Seksyen 24 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 menyatakan secara jelas bahawa:

1) Mana-mana orang yang mengatakan atau mengaitkan melalui kata-kata, sama ada bertutur atau tulisan, atau melalui isyarat, atau melalui gambaran yang boleh dilihat atau melalui apa-apa perbuatan, kegiatan atau kelakuan, atau dengan mengelola, menggalak atau memperaturkan apa-apa kegiatan, atau selainnya dengan apa jua cara, bahawa mana-mana orang yang menganuti Agama Islam, atau orang-orang yang tergolong dalam mana-mana kumpulan, kelas atau perihalan orang-orang yang menganuti Agama Islam:

i) adalah orang kafir, atau
ii) telah berhenti menganuti Agama Islam, atau
iii) tidak patut diterima, atau tidak dapat diterima, sebagai menganuti Agama Islam, atau
iv) tidak mempercayai, mengikuti, menganuti, atau tergolong dalam Agama Islam, adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Tambah Farhan, tujuan peruntukan ini diwujudkan adalah untuk menghalang sikap takfiri di kalangan umat Islam apabila berlakunya perbezaan pendapat baik dari segi agama atau politik.

"Malangnya hari ini, YDP Pas ini sanggup mengkafirkan sesama Muslim demi kepentingan politik. Inilah bahayanya jika agama dan politik itu dicampuradukkan sesuka hati tanpa batasan.

"Adalah amat ironi apabila Pas yang mahu memartabatkan mahkamah syariah, telah melakukan jenayah syariah dengan mengkafirkan orang. Adakah ini juga salah satu usaha untuk memartabatkan Islam?" soal beliau.

Farhan juga kesal kerana tiada seorang pun pemimpin utama Pas terutama presiden parti itu tampil menyangkal atau menegur sikap YDP Pas itu malah diam seribu bahasa.

"Hal ini bukan kali pertama malah di media sosial begitu banyak kenyataan umat Islam mudah mengkafirkan orang Islam hanya kerana mereka berbeza pendapat. Dalam kita mahu memartabatkan Islam kita lupa akhlak Islam yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Dr Wan Azizah menggunakan saluran mahkamah syariah sedia ada agar kenyataan pemimpin Pas itu disiasat supaya sikap ini dapat dibendung daripada menular dalam komuniti umat Islam.

"Saya menghormati kebebasan Pas untuk membawa RUU 355 ke Parlimen dan mempromosikannya di setiap genap dan ruang di seluruh negara. Namun, apapun yang dilakukan harus ada had dan batasnya jangan sampai ia memburukkan nama agama Islam itu sendiri dengan sikap angkuh dan 'holier than thou' mereka," tegasnya.

Tiada ulasan: