HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 September 2016

Gerakan tuntut utamakan RUU kerajaan sebelum usul pinda Akta 355 PAS

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Parti Gerakan hari ini menuntut agar Rang Undang-Undang (RUU) kerjaan diutamakan terlebih dahulu pada sidang Parlimen yang akan bermula Oktober depan, berbanding usul persendirian bagi meminda Akta 355, yang akan dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong memberitahu masih terdapat banyak RUU kerajaan yang belum dibahas dan senarai itulah yang harus diutamakan terlebih dahulu.
 
"Kita merasakan bahawa banyak rang undang-undang kerajaan dan ia mesti diberi keutamaan berbanding rang undang-undang persendirian.
 
"Jadi, mungkin rang undang-undang persendirian itu tak dapat dibentangkan pada sesi depan kerana terdapat banyak rang undang-undang kerajaan dan ia patut diberi keutamaan. Dan tempoh (sesi parlimen) pun tak lama," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan berhubung pendirian Gerakan mengenai RUU pindaan Akta 355, yang bertujuan untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
Pada 26 Mei, Hadi membentangkan RUU Persendirian, bertujuan meminda Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk menyebut bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam, dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
 
Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, yang menyebut bahawa dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2A, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan-kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.
 
Hadi kemudiannya meminta bacaan itu ditangguhkan pada sesi Oktober bagi memberi lebih masa kepada ahli Parlimen yang lain untuk memahami apakah matlamat utama pindaan itu diusulkan.
 
PAS ketika ini giat mengadakan sesi penerangan berhubung RUU tersebut, namun masih ada pihak yang tetap tidak memahami keperluan akta itu dipinda.
 
Pemerhati politik menyifatkan PAS perlu mencari kaedah yang lebih baik agar penjelasan yang dibuat berkesan sekaligus menyaksikan cadangan itu diterima baik semua pihak. 
 
 

Tiada ulasan: