Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: PAS hari ini menyindir bekas rakan komponennya ketika dalam
Pakatan Rakyat (PR) yang mahu menjalin kerjasama dengan parti itu,
tetapi sering menyerang dan memfitnah mereka dengan pelbagai isu.
Menurut timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, meskipun diserang ramai pula mengharapkan kerjasama bersama PAS.
"Ketika PRN Sarawak, PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, PAS diserang dengan hebat dari pelbagai penjuru.
"Serangan dari kawan yang masih bertahaluf pun tidak kurang juga
hebatnya, maklumlah dah dapat rakan baru yang kononnya dapat mengisi
kekosongan yang ditinggalkan PAS," katanya dalam satu kenyataan media
hari ini.
Walaupun tidak menyatakan secara jelas, umum mengetahui bahawa beliau merujuk kepada PKR dan DAP.
PR terkubur disebabkan pertelagahan parti itu bersama DAP yang enggan
bersetuju dengan dasar Islam yang dibawa PAS, tetapi parti itu masih
menjalin tahaluf siyasi bersama PKR.
Beliau turut mempersoalkan kenapa parti pembangkang yang lain
mengharapkan kerjasama dengan PAS tetapi pada masa yang sama menuduh
mereka menjalin kerjasama dengan Umno.
"PAS dan Presiden PAS dijadikan "punching bag" dengan pelbagai tuduhan
kurang enak terutamanya fitnah yang paling banyak diulang iaitu
kononnya nak kerjasama dengan Umno dan makan dedak Umno.
"Bukankah pelik untuk meminta kerjasama dengan sebuah parti yang dituduh makan dedak Umno?" soal beliau.
Tuan Ibrahim turut membayangkan bahawa parti itu tidak mungkin akan
menjalin kerjasama dengan pembangkang, sebaliknya parti itu mahu
memperkukuhkan blok Gagasan Sejahtera dalam persediaan menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"PAS kini perlu memperkasakan muafakat dengan rakan yang sedia
menerima dasar yang dibawa oleh PAS. PAS sedang membina kekuatan blok
Gagasan Sejahtera walaupun pelbagai cemuhan dibuat.
"Bagi PAS, ia lebih senang berpakat dengan yang jujur dari yang hanya
ingin mengambil kesempatan dalam muafakat," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan