PASIR SALAK: BN akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini bagi
membincangkan mengenai persempadanan semula yang dicadangkan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR), kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor.
Beliau berkata mesyuarat itu akan disertai setiausaha agung parti
komponen BN seluruh negara untuk membincangkan sebarang ketidakpuasan
hati mereka terhadap cadangan persempadanan semula itu sebelum keputusan
dibuat untuk mengemukakan bantahan kepada SPR sebelum 14 Oktober ini.
"Umno juga telah minta Badan Perhubungan Umno Negeri yang mempunyai
masalah (berkaitan syor persempadanan semula) untuk mengumpulkan semua
syor atau bantahan dan hasil penelitian akan diserahkan kepada SPR.
"Kalau boleh, kita minta SPR lihat semula (cadangan persempadanan)
kerana beberapa bahagian Umno tidak berpuas hati, begitu juga
pembangkang yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan bantahan kepada
SPR," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Pasir Salak di Pasir Salak hari ini.
Turut hadir Ketua bahagian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan
perkara biasa yang dilakukan SPR setiap lapan hingga 12 tahun sekali
bergantung kepada penambahan penduduk di negara ini.
Dalam pada itu, Tengku Adnan menegaskan Umno tiada kaitan dengan
cadangan persempadanan semula seperti didakwa pembangkang kerana SPR
merupakan badan yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana
parti.
"Kita (Umno) tak buat (seperti dakwaan), jadi kita akan kumpul semua
bantahan mengikut garis panduan dan peraturan yang ditetapkan," tegas
setiausaha agung Umno itu.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian
semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113
Perlembagaan Persekutuan dan Pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14
Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan