HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 September 2016

Jangan buang, tamat khidmat kakitangan kontrak - CUEPACS

 
 
Azih Muda
Azih Muda


Kerajaan dicadang mengekalkan kira-kira 10,000 kakitangan kontrak pada Bajet 2017, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Kakitangan kontrak itu kebanyakan diambil semasa pelaksanaan pakej rangsangan semula ekonomi dan pelantikan sekali gus, yang mana mereka tidak menikmati caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perkeso dan kenaikan gaji.

Malah, kumpulan kakitangan ini ada yang berkelayakan ijazah tetapi dibayar gaji mengikut Sijil Pelajaran Malaysia.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, CUEPACS akan membuat rayuan kepada kerajaan agar perkara ini dipertimbangkan secara mendalam jika ia berlaku.

"Kita faham dalam kedudukan ekonomi sekarang kerajaan perlu berjimat cermat. Tetapi pada masa sama kerajaan tidak boleh mementingkan kedudukan sendiri sahaja, kehidupan rakyat juga perlu diutamakan," katanya kepada MalaysiaGazette.

Azih berkata demikian ketika ditanya mengenai ura-ura penamatan kontrak pekerja kerajaan sehingga akhir tahun ini.

Beliau yang enggan mengesahkan sama ada spekulasi itu benar atau sebaliknya berkata, CUEPACS berharap ia tidak benar dan tidak berlaku sama sekali.

Jelasnya, jika kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menyerap 15,000 orang kakitangan kepada jawatan tetap pada bajet lalu, tidak mustahil langkah sama boleh dilakukan.

"Saya yakin kerajaan boleh mengambil pelbagai cara untuk menangani isu pembuangan atau penamatan kakitangan kontrak tetapi ia boleh dielakkan," ujarnya. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: