Amanah komited melakukan persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) dengan mengenal pasti kerusi-kerusi fokus, kata Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Mazlan Aliman.
“Perbincangan dalam Pakatan Harapan Johor telah dimulakan. Ia akan disusuli dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia, dimana hubungan akrab sedia terjalin sama ada dengan Tan Sri Muhyiddin serta pimpinan Parti Peribumi Bersatu Malaysia yang lain,” dipetik daripada status di Facebook beliau hari ini.
Menurutnya, Task Force Bantahan Persempadanan Kawasan Pilihan Raya telah ditubuhkan dengan dipengerusikan Suhaizan Kaiat yang juga Setiausaha Organisasi Amanah.
“Task force ini sedang merangka plan tindakan bantahan, analisis Dun (Dewan Undangan Negeri) yang terlibat, mengumpul tanda tangan dan kerja-kerja teknikal berkaitan. Moga usaha kita diberkati Allah,” ujarnya.
Selepas lima hari Sambutan Setahun Amanah di Muar, majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Amanah Johor di Tropical Inn Johor Bahru berlangsung pagi tadi dengan dirasmikan Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub.
“Alhamdulillah, pimpinan PKR, DAP dan NGO turut hadir,” tambah Mazlan lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional, Dr Mohd Hatta Ramli memberitahu, pihaknya sedang meneliti laporan bantahan dari seluruh negeri berhubung syor persempadanan semula kawasan pilihan raya.
“Kita juga sudah membentuk ‘task force’ di peringkat nasional dipengerusikan oleh Aiman Athirah bersama enam lagi jawatankuasa yang akan menyelaraskan bantahan ini dengan melihat skop-skop berkaitan.
“Ini termasuklah sama ada jumlah pengundi yang terlalu ketara atau kesannya terhadap pentadbiran akibat pindah pengundi sana sini atau peta mengundi yang sudah semakin pelik,” ujarnya baru-baru ini.
Dapatkan akhbar mingguan Amanah Edisi ke-19, 2-8 Oktober di pasaran akan datang untuk mengikuti secara lanjut wawancara eksklusif tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan