HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 September 2016

Tidak hairan mengapa pembangkang sasar SPR, kata penganalisis

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerja pembangkang adalah untuk menjatuhkan imej kerajaan, justeru tidak hairanlah mengapa gagasan itu terus-menerus menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai alat kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata SPR kini menjadi sasaran pembangkang selepas badan itu mengumumkan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
 
Pembangkang menuduh SPR bersifat berat sebelah dan membuat persempadanan semula dengan matlamat untuk memenangkan BN pada PRU14.
 
"Jadi saya rasa kalau Pembangkang kutuk SPR, kutuk BN, itu memang strategi mereka. Dan mereka buat banyak, ada tindakan politik, ada tindakan pentadbiran, ada tindakan hak asasi, ada tindakan demonstrasi. 
 
"Tak hairan, ini memang kerja pembangkang. Satu, dia nak imej kerajaan atau badan kerajaan makin teruk jadi dia boleh dapat pengaruh rakyat. Yang kedua mereka pun nak ada modal, (jadi) itu modal dialah," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Ramlah yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata pengumuman Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, semalam, bahawa parti itu juga terkesan dengan cadangan persempadanan semula SPR, membuktikan SPR bukan alat untuk memenangkan BN, seperti yang didakwa pembangkang.
 
"Pembangkang bantah dia buat tuduhan kata BN yang pengaruh, sekarang pula BN pun bantah. Jadi maknanya BN memang tak pengaruh SPR. Jadi maknanya SPR buat keputusan sendiri kerana badan bebas itu dilantik dari Yang Dipertuan Agung," kata beliau.
 
Najib selain itu mengumumkan parti komponen BN setuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelaras pandangan dan cadangan untuk membuat bantahan kepada SPR, dalam tempoh yang ditetapkan.
 
Jawatankuasa itu akan diketuai Setiausaha Agung  BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan akan dibantu setiausaha agung tiap-tiap parti komponen BN.
 
SPR sebelum ini memberitahu parti-parti politik mempunyai tempoh masa hingga 14 Oktober depan, untuk menyatakan sebarang bantahan.
 
 

Tiada ulasan: