Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata langkah tersebut boleh dilakukan melalui hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) daripada rakyat.
“Rakyat hingga hari ini masih tertanya-tanya apakah pulangan GST kepada mereka. Seharusnya, pelajar terbabit yang mengikuti kursus perubatan, farmasi dan pergigian diberi biasiswa dan bukannya dibiarkan menanggung sendiri kos pengajian.
“Sudahlah bajet pendidikan dipotong sebanyak RM2.4 bilion, tunggakan yuran pengajian pelajar kita tidak dibantu. Walhal, kerajaan hari ini mengutip GST lebih RM50 bilion daripada rakyat,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Pada masa sama, jelasnya, Pusat Zakat setiap negeri juga perlu segera tampil menyalurkan kutipan zakat diperoleh bagi membayar tunggakan yuran pengajian tersebut memandangkan kumpulan penuntut terbabit adalah orang Melayu Islam yang merupakan asnaf.
“Seharusnya tujuan Pusat Zakat bagi membantu umat Islam namun hal itu gagal diuruskan dengan baik. Amat memalukan umat Islam di negara ini jika tunggakan yuran pengajian berkenaan gagal segera diselesaikan ketika zakat dikutip jutaan ringgit setiap tahun.
“Umat Melayu Islam harus menikmati mutu kehidupan yang baik dan terjamin melalui sistem zakat kerana ia diperintahkan Allah bagi mengimbangi kehidupan sosio-ekonomi umat Islam,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Faiz bimbang jika terdapat mana-mana ibu bapa terpaksa pula berhutang dengan 'Ah Long' bagi membayar tunggakan yuran pengajian pelajar ini.
“Tunggakan yuran pengajian ini juga jelas menunjukkan keadaan ekonomi rakyat terutama orang Melayu yang semakin susah dan tertekan akibat kenaikan kos sara hidup kesan daripada GST dan korupsi pemimpin negara,” tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan