GEORGETOWN - Persoalan keengganan Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk melepaskan jawatannya atau sekurang-kurangnya mengambil cuti belum terjawab.
Sebelum ini, pelbagai pihak menggesa beliau supaya meletak jawatan setelah menghadapi dua pertuduhan rasuah di mahkamah namun Guan Eng masih dengan pendiriannya.
Terbaru, Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman sekali lagi menggesa Guan Eng supaya berbuat demikian.
Menurutnya, keengganan Guan Eng itu memberi tekanan kepada pegawai-pegawai Kerajaan Pulau Pinang yang berkemungkinan akan dipanggil sebagai saksi apabila prosiding bicara dimulakan.
"Amat menghairankan, mengapa Guan Eng masih belum melepaskan jawatan atau bercuti dari jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang. Dia sudah didakwa dengan dua pertuduhan salah laku rasuah (Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan) di mahkamah pada 30 Jun lalu.
“ Tindakan Guan Eng yang enggan melepaskan jawatan atau bercuti dari jawatannya itu dilihat bakal menyebabkan tekanan yang tidak wajar ke atas pegawai-pegawai Kerajaan Pulau Pinang yang berkemungkinan akan dipanggil sebagai saksi pihak pendakwaan apabila perbicaraan kes rasuah itu bermula," katanya melalui kenyataan medianya semalam.
Sebelum ini, Zainal Abidin pernah menggesa Guan Eng supaya meletakkan jawatan Ketua Menteri dan lain-lain jawatannya sehingga perbicaraan kes rasuah beliau selesai.
Zainal Abidin berkata, sebelum ini, belum ada mana-mana Ketua Menteri atau bekas Ketua Menteri dihadapkan ke mahkamah di atas pertuduhan salah laku rasuah dan tindakan itu perlu diambil bagi menjamin integriti jawatan Ketua Menteri tidak dipertikaikan.
Menurutnya, sebagai seorang Ketua Menteri yang beretika dan bermaruah, Guan Eng sepatutnya meletak jawatan atau bercuti.
"Ia bagi menjaga integriti jawatan yang disandang malah seorang pegawai kerajaan atau penjawat awam perlu bercuti apabila menghadapi pertuduhan yang sama.
"Ternyata Guan Eng terlalu sayang untuk melepaskan jawatannya itu. Rakyat Pulau Pinang boleh menilai sendiri samada beliau adalah seorang yang gila jawatan dan kuasa atau sebaliknya," katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang sebulat suara memutuskan tiada keperluan untuk Guan Eng bercuti atau meletak jawatannya.
Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang memutuskan Guan Eng tidak perlu meletakkan jawatan kerana dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya hanya bermotifkan politik.
Sehubungan dengan itu, barisan Exco memutuskan Guan Eng tidak perlu meletak jawatan dan boleh meneruskan tugasnya seperti biasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan