Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Tun
Dr Mahathir Mahathir mempamerkan belang politiknya sekali lagi. Semakin
hampir pilihanraya umum ke-14, semakin gesit Mahathir menyusun
langkahnya mahu mengepalai pembangkang.
Setelah
berjaya dalam pusingan pertama menguji tahap penerimaan parti-parti
pembangkang terhadap beliau dan partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM), beliau kini menyusun langkah memasuki litar politik kedua.
Kali ini Mahathir bertindak lebih berani. Beliau mengacah kesepaduan
dan ketulusan parti-parti pembangkang apabila melontarkan nama presiden
PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri.
Mahathir memang maklum bahawa Pakatan Harapan – DAP, PKR dan Amanah --
sudah mengambil pendirian bahawa jika mereka menumbangkan Umno-BN, calon
perdana menteri ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun dalam satu ceramah di London minggu lalu, Mahathir melontarkan
nama presiden partinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bakal perdana
menteri jika pembangkang menang PRU ke-14 kelak.
Sebagai seorang ahli politik veteran, Mahathir sudah pasti dapat
menduga bahawa tindakannya itu pasti mengundang reaksi daripada
pemimpin-pemimpin pembangkang.
Di
sini jelas kelicikan Mahathir. Beliau ingin tahu berapa ramai di
kalangan pimpinan pembangkang yang sudah mula menilai politik
pembangkang dari luar kepompong pemikiran reformasi Anwar.
Mahathir mahu mengukur sejauh mana kemunculan beliau dan PPBM dalam
senario politik negara sudah mula mengubah cara berfikir dan bertindak
pembangkang.
Lebih tepat lagi Mahathir mahu menguji sejauh pengaruh dan
kepemimpinannya boleh menggerhanakan karisma Anwar yang selama ini
memonopoli pengaruh kepimpinan pembangkang.
Yang nyata Mahathir sudah mendengar sendiri pengumuman bekas musuh
nombor satunya, Lim Kit Siang bahawa beliau sanggup menyokong pendirian
dan perjuangannya.
Beliau juga dapat menyelami bahawa di kalangan pimpinan PAS masih ada
yang mengambil sikap tegas dan tidak mahu langsung mendekati apatah lagi
mahu bekerjasama dengan Umno.
Mahathir
juga dapat membaca persepsi umum bahawa pembangkang sebelum ini
terkesima dengan karisma dan bersimpati dengan nasib politik Anwar,
adalah tidaklah begitu tepat.
Sejak dibebaskan pada 2004, Anwar menghadapi saingan daripada Tun
Abdullah Badawi, seorang pemimpin Umno yang dianggap lemah oleh Mahathir
sehingga Anwar mampu memadamkan majoriti dua pertiga Umno-BN pada PRU
2008.
Mahathir juga maklum bahawa janji Anwar mahu mengambil alih kerajaan
dengan memancing beberapa ahli parlimen BN pada 16 September 2008 gagal
ditunaikan dan ini mengecewakan ramai penyokong Pakatan Rakyat ketika
itu.
Namun politikus veteran itu sedar bahawa ramai pemimpin Pakatan Rakyat
ketika itu hanya memendamkan kekecewaan mereka kerana tiada pemimpin
lain yang dapat menandingi kaliber Anwar.
Kini Anwar dalam penjara. Mahathir pula sudah mula diterima dalam
barisan pembangkang. Mahathir juga menyedari bahawa PRU ke-14 mungkin
berlaku dalam tempoh terdekat. Masa ini paling sesuai menggugah mitos
kepimpinan Anwar.
Langkah Kajang yang digerakkan Anwar bukan sahaja menghumbannya ke
penjara buat kali kedua, ia juga melebarkan lagi rekahan politik dalam
partinya sendiri.
Persoalan siapa bakal perdana dilontarkan Mahathir dalam ceramah di
luar negara adalah semboyan politik untuk mengisyaratkan bahawa beliau
bersedia kembali mengungguli politik Malaysia.
"Tapi pada masa ini kita belum buat keputusan, kecuali jika pembangkang
menang, besar kemungkinan perdana menteri adalah Muhyiddin.
"Tetapi ia bergantung kepada parti dan ia juga bergantung kepada rakan
pakatan yang lain mengenai siapa yang sepatutnya menjadi perdana
menteri," katanya.
Maknanya, Mahathir langsung tidak mengambil kira untuk memberi peluang
Anwar dibebaskan dan kemudian diusahakan untuk menjadi perdana menteri
yang sah. Dalam perkataan lain, Mahathir tidak mahu Anwar bebas.
Beliau
juga sempat menyelitkan beberapa kebarangkalian yang mungkin berlaku di
antaranya ada pihak yang akan kecewa jika idea siapa bakal perdana
menterinya jadi perbincangan utama.
Namun Mahathir tetap memajukan ideanya itu dengan perakuan bahawa jika
Muhyiddin dipilih, partinya, PPBM sudah ada mekanisme untuk mengawal
perdana menteri supaya tidak mutlak berkuasa.
"Perdana menteri masa depan tidak akan terlalu bebas kerana dalam parti
baru (PPBM), kita mempunyai bukan sahaja presiden tetapi juga
pengerusi," katanya.
Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PPBM berkata, pengerusi parti itu
perlu berunding mengenai urusan kerajaan untuk memastikan bahawa perdana
menteri tidak membuat keputusan sendiri.
"Sudah tentu beliau mempunyai kabinet. Tetapi kabinet kadang-kadang
menjadi terlalu patuh kepada perdana menteri kerana beliau melantik
mereka, (maka) mereka tidak akan menentang.
"Parti baru (PPBM), kami memastikan kuasa presiden akan tertakluk
kepada perjanjian dengan sekumpulan AJK di dalam parti," katanya.
Yang pasti kempen melobi untuk meletakkan PPBM sebagai parti peneraju
sudah bermula. Seraya itu Mahathir pun sudah memberi isyarat bahawa jika
PPBM memimpin pembangkang, beliau akan terbabit langsung dalam
pemerintahan Malaysia.
Tinggallah Anwar meronta-ronta dalam penjara melihat bagaimana Mahathir
menyambar dan mengambil alih teraju kepimpinan Barisan Rakyat dari
genggamannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan