HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 September 2016

‘Saya ibarat lambang Malaysia’

‘Saya ibarat lambang Malaysia’
Kandapan berdiri di depan rumahnya yang turut mempunyai bendera-bendera dari negeri lain di seluruh Malaysia.
 


JOHOR BAHRU - Tiada istilah puas buat ahli perniagaan dari Johor Bahru ini untuk menyatakan semangat patriotik dan cinta negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

M Kandapan, 56, dia bukan sahaja mengibar bendera pada setiap 31 Ogos, malah turut bersama ribuan bendera pelbagai saiz dan bentuk sepanjang masa sejak 14 tahun lalu.

“Saya mulakan sejak kemerdekaan 2002 di mana ketika itu rasa nak buat sesuatu pada hari merdeka kerana jemu bendera dipasang di kereta mudah terbang dan koyak. Dari situ, saya dapat idea tampal pelekat di kenderaan.

Wang bukan ukuran

“Ketika itu idea pun tak banyak, apatah lagi saya buta huruf dan baru bermula, saya hanya buat pelekat dengan logo merdeka tahun itu sahaja,” katanya.

Jika pada awalnya dia hanya membelanjakan RM1,500 bagi menghias kenderaan miliknya, kini bapa lima cahaya mata ini sanggup berbelanja 10 kali ganda bagi sambutan kemerdekaan ke-59, baru-baru ini.

“Saban tahun, saya akan mencari idea yang unik dan tersendiri bagi menghias kenderaan termasuk gambar yang harus dicetak, susunan bendera dan memastikan ada aktiviti disusun seperti jelajah ke seluruh daerah.

“Tahun 2016 ini istimewa kerana anak lelaki ketiga saya berkahwin pada Hari Malaysia, pada 16 September, jadi saya menghias 26  motosikal dan 33 kereta (keseluruhan 59) bagi mengiringi pengantin,” katanya yang akan meneruskan aktiviti itu sehingga akhir hayatnya.

Akui Kandapan, bukan publisiti atau penghargaan yang diimpikannya, sebaliknya beliau berasa terhibur dan gembira apabila dapat berkongsi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Kandapan yang dibesarkan di rumah anak yatim di Johor Bahru, di sini sejak berusia 2 tahun hanya bersekolah sehingga darjah 6 menyebabkan dirinya tidak tahu membaca.

Dianggap gila, tapi popular

Namun, dia bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan isteri, Rani Subramaniam, 52, dan lima anaknya selain kenalan rapat terdiri daripada pelbagai bangsa yang sentiasa membantu mencari bahan.

“Pada mulanya memang anak malu, masa mereka kecil ada ikut saya konvoi, kini mereka sudah besar dan berkerjaya jadi peluang itu terbatas, namun keluarga tetap menyokong dan memahami hobi saya.

“Masa mula-mula buat benda ini, ada beberapa orang cakap saya macam orang gila, tetapi saya tidak pedulikan dan akhirnya kini mereka turut sokong kerana usaha saya telah mendapat liputan pelbagai pihak termasuk media,” katanya yang bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama.

Katanya, atas semangat tidak berbelah bahagi, Kandapan mendapat penghargaan daripada jabatan kerajaan selain dibawa menjelajah ke seluruh negeri menerusi program Muafakat Johor.

Atas keunikan ini, Kandapan, sentiasa menjadi tarikan dan dikerumuni pelbagai jenis lapisan masyarakat yang sama-sama ingin berkongsi kenangan.

Impi catat nama dalam MBR

Sebut sahaja apa yang tidak dihias oleh Kandapan, kereta, motosikal, basikal malah sejak 2015 beliau turut menghias rumah dengan 3,000 Jalur Gemilang yang tidak pernah diturunkan sejak itu.

“Saya hanya ganti bendera koyak dan lusuh dengan bendera baharu.

“Bagi saya, bendera ini perlu disanjung, yang jatuh kena angkat dan diletak di tempat tinggi seperti mana kita sayangkan keluarga. Sewajarnya kita ada perasaan sama pada bendera Malaysia kerana ia lambang negara yang kita diami, tempat kita bernafas dan mencari rezeki,” katanya.

Meskipun tidak mengharap usahanya mendapat balasan, Kandapan ingin bertemu Perdana Menteri bagi menunjukkan semangat patriotiknya selain  merancang sertai Hari Kemerdekaan ke-60, sekali gus menempatkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBR).

“Jangan tanya saya jemu atau penat, kerana ia tidak pernah terlintas dalam fikiran malah saya akan terus melakukan yang lebih hebat di masa hadapan kerana bagi saya masyarakat kini tidak lagi ingin kibar Jalur Gemilang dan berharap apa saya lakukan ini menjadi inspirasi,” katanya.


Tiada ulasan: