Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegur segelintir agamawan yang secara berwewenang mengkafirkan orang Islam yang tidak bersetuju dengan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) sedangkan ia belum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, adalah tidak wajar mana-mana ahli Parlimen dipaksa menerima RUU 355 termasuk mengugut kononnya sesiapa tidak menyokong akan menjejaskan akidah sedangkan RUU itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dari pelbagai aspek oleh pihak legislatif bagi tujuan penambahbaikan.
Kenyataan Dr Wan Salim yang dikeluarkan hari ini dipercayai merujuk kepada kontroversi kuliah Yang Dipertua Pas Padang Serai Shaharuddin Ibrahim yang menyifatkan ahli parlimen yang tidak menyokong RUU 355 sebagai 'jatuh akidah' (rosak akidah) dan layak dikebumikan di jirat (tanah perkuburan Cina).
RUU 355 dijadual dibentangkan Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, Oktober ini.
"Saya amat sedih mendapati segelintir agamawan di negara ini yang dengan sewenang-wenang mengkafirkan orang Islam hanya kerana mengambil pendirian tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang bertujuan memperkasa serta memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah.
"Saya tidak menafikan tentang peri pentingnya gagasan sedemikian dilaksanakan dan justeru sepatutnya ia mendapat sokongan semua pihak. Tetapi yang perlu difahami RUU 355 belum lagi dimuktamadkan dan hanya akan dibentangkan oleh Ahli Yang Berhormat Marang di Parlimen yang akan mulai bersidang pada pertengahan bulan Oktober ini.
"Biarlah ia dibincang terlebih dahulu dengan teliti dari pelbagai aspek oleh pihak legislatif dengan tujuan penambahbaikan. Moga-moga dengan perbahasan yang bebas akan menghasilkan satu undang-undang yang adil untuk dilaksanakan ke atas seluruh warganegara," kenyataan Dr Wan Salim dipetik.
Beliau menambah, seorang Muslim sememangnya wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT namun RUU 355 bukanlah hukum Allah SWT dan hanya satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia.Dr Wan Salim menjelaskan, kemungkinan wujud kekurangan dan kelemahan tertentu di dalam RUU 355 yang perlu diperbaiki sebelum dijadikan undang-undang.
"Sebaiknya pihak kerajaan sendiri mengambil daya usaha membentangkannya seperti sebelum ini supaya kelihatan lebih serius dan tidak dilihat sebagai gimik politik semata-mata," tegas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan permintaan maaf Shaharuddin atas keceluparannya 'mengkafirkan' Presiden Keadilan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh jika tidak menyokong RUU 355 di Dewan Rakyat kelak.
Bagaimanapun Shaharuddin menjelaskan permintaan maaf itu dibuat untuk tidak memanjangkan isu itu.
"Dalam kuliah saya baru ini, saya ulas dengan panjang, tak ada tuju khusus kepada siapa-siapa, harap mana-mana pihak yang mahu petik ceramah atau kuliah, dengar sampai habis supaya faham," ujarnya membela diri.
Sahaharuddin sebelum ini turut mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Pulau Pinang menghalang azan daripada dilaungkan.
Bagaimanapun setelah diberi amaran akan diambil tindakan mahkamah, 'ulamak Pas' itu memohon maaf kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan DAP kerana tuduhan berunsur fitnah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan