HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 September 2016

Rawatan gigi mahal punca guna rawatan doktor palsu


HARAKAHDAILY



 

KOS tinggi memasang pendakap gigi menyebabkan pengguna mengambil jalan keluar yang tidak betul

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut dengan laporan media baru-baru ini mengenai doktor gigi yang palsu menawarkan rawatan pergigian atau khidmat memasang pendakap gigi secara haram hingga menimbulkan beberapa masalah kesihatan yang serius kepada pesakit. Pengguna yang mendapatkan khidmat seumpamanya berisiko mendapat HIV, jangkitan Hepatitis, kerosakan gigi dan penyakit gusi.

Perkhidmatan dan prosedur palsu ini dilakukan oleh orang yang tidak berkelayakan, di bawah harga normal. Pengguna tertarik kepada perkhidmatan itu memandangkan harganya mampu dibayar. CAP berpendapat kos tinggi prosedur rawatan pergigian merupakan salah satu faktor utama pengguna beralih kepada khidmat pergigian yang tidak bertauliah.

Kos pemasangan pendakap gigi boleh menjangkau antara RM3,000.00 – RM4,000.00. Yuran ini tidak dinyatakan dengan jelas pada papan putih di klinik pergigian, agar bakal pesakit/pelanggan boleh menimbangkan sama ada mahu mendapatkan rawatan di situ. Mereka cuma diberitahu mengenai kosnya selepas rawatan bermula.

Pada Jun 2000, CAP telah mengetengahkan isu ini di dalam Utusan Pengguna. Pada ketika itu pun doktor gigi persendirian telah mengenakan bayaran yang tinggi dan tidak mempamerkan kos rawatan pada papan putih di klinik mereka.

Enam belas tahun kemudian, ia masih belum berubah. Perbezaannya hanyalah kini kita mempunyai Jadual 13, Perintah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) (Pindaan) 2013, yang mengawal selia yuran perkhidmatan pergigian asas.

Di sebalik kewujudan Jadual 13, klinik pergigian swasta masih tidak diwajibkan untuk mempamerkan yuran bagi khidmat nasihat dan prosedur mereka, dan rawatan pergigian atau yuran pemasangan pendakap gigi tidak termasuk di bawah jadual ini.

Satu-satunya perkara yang dikawal selia ialah yuran bagi khidmat nasihat dan yuran bagi prosedur rawatan pergigian asas. Sungguhpun begitu, kadar yuran bagi beberapa prosedur asas yang tertentu terlalu luas. Misalnya kadar yuran bagi rawatan “dentur akrilik (penuh) bagi setiap rahang” (seperti yang dinyatakan di dalam Jadual ke-13) adalah RM285.00 – RM2,290.00. Itulah sebabnya pengguna mudah diperdayakan oleh pakar pergigian tidak bertauliah dengan membazirkan wang mereka dan membahayakan nyawa mereka.

Ini merupakan masa percubaan dan sama ada pengguna cuba penuhi rasa megah mereka, akur kepada tekanan atau diberitahu oleh doktor gigi bahawa mereka memerlukan pendakap gigi untuk membetulkan masalah pergigian mereka, mereka masih perlu membayar kos yang tinggi.

Oleh itu mereka beralih kepada jalan keluar termurah tanpa mengetahui bahawa ia mungkin menyebabkan mereka membayar lebih daripada yang sepatutnya dalam jangka panjang, baik dari segi kewangan mahupun kesihatan.

Adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa yang berkenaan untuk memastikan pengguna tidak terperangkap dalam jalan penyelesaian sebegini. Jika sesuatu prosedur seperti memasang pendakap gigi dipantau dan bayaran bagi prosedur seumpamanya dipamerkan pada papan putih di dinding klinik, maka doktor gigi tidak akan berpeluang untuk mengenakan bayaran dengan sewenang-wenangnya terhadap pesakit mereka, dan orang akan tahu apa jua yang berada di bawah harga tertentu tidak patut dipercayai.

Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan supaya meminda jadual ke 13 yang terdahulu – Jadual 13, Perintah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) (Pindaan) 2013 agar:-

i.Yuran atau bayaran bagi semua prosedur (asas atau khusus) dikawal selia;
ii.Mewajibkan semua klinik pergigian persendirian untuk mempamerkan yuran pada papan putih di dalam kinik; dan
iii.Memastikan kadar yuran bagi sebarang rawatan tidak meluas secara tidak wajar. Hanya ketika itulah  industri pergigian akan merawat pesakit dengan secara adil.

S.M. MOHAMED IDRIS, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang 

Tiada ulasan: