HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 September 2016

DAP akan letak calon Melayu jika mahu menang mudah PRU, kata Umno Selangor

DALIA ISMAIL
 
 
Datuk Mat Nadzari Ahmad DahlanDatuk Mat Nadzari Ahmad DahlanUmno menjangkakan DAP akan menang mudah banyak kerusi yang dipertandingkan di Selangor sekiranya meletakkan calon DAP Melayu di kawasan bukan Melayu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, tidak akan menyumbang kepada peratusan sokongan pengundi di setiap kawasan terhadap parti yang bertanding.

""Persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak boleh diharapkan sangat untuk mana-mana parti yang bertanding akan menang.

"Di Selangor contohnya kita lihat DAP boleh menang mudah dibanyak kawasan bukan Melayu.

"Tidak hairan nanti di kawasan ini DAP akan meletakkan calon Melayunya.

"Silap hari bulan, calon DAP boleh jadi Menteri Besar Selangor selepas ini," telahannya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan(IDE), Prof Datuk Dr Reduan Othman, pada Selasa, dipetik berkata, BN akan menang di Selangor jika pertandingan tiga penjuru berlaku di negeri itu.

BN juga akan menang sama ada sebelum persempadanan semula kawasan pilihan raya ataupun selepas persempadanan semula.

Justeru apa yang diperlukan untuk mempastikan BN boleh dikalahkan adalah dengan memastikan pertandingan dua penjuru antara BN dengan parti pembangkang berlaku.

Mat Nadzari yang juga Adun Batang Kali tidak bersetuju apabila dapatan analisis dilakukan itu menunjukkan BN di Selangor akan kalah jika berlaku pertandingan dua penjuru.


" Come on man... BN boleh kalah dengan Amanah dan Bersatu, dua penjuru?

"Itu rumusan mengikut data dan sampling mereka. Ini (analisis) sekadar hendak menyejukkan hati dan meyakinkan Amanah dan Pas saja," ujarnya.

Umno Selangor menyakini pertandingan dua penjuru akan memberi peluang lebih baik untuk BN menang pilihan raya akan datang di negeri itu berbanding pertandingan tiga penjuru.

Beliau berkata kawasan-kawasan yang ditandingi Pas dan PKR di kawasan Melayu akan menjadi tumpuan meletakkan calon Umno-BN kelak.

"Kita mempunyai data serta sampling kita sendiri.Petunjuknya kami yakin kita (semua parti) punyai peluang baik, sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru antara Pakatan Harapan atau Pas dan Bersatu untuk melawan BN.

"Dua penjuru bagus untuk BN. Kita (semua parti) dah ada hardcore masing-masing.

"Tetapi jika berlaku tiga penjuru agak sukar, kerana berlaku perebutan ke atas pengundi Melayu dan pengundi atas pagar, sudah pasti Amanah, Bersatu dan Pas akan cuba mempengaruhi seramai mungkin pengundi Melayu ini.

"Jadi pengundi akan berpecah dan Umno bergantung harap kepada kekuatan 'hard core' di kawasan yang ditandingi dan sedikit sokongan lain kita yakin BN boleh menang dikerusi yang pernah kita kalah," ujarnya.

Dalam PRU 13 lalu, di kerusi Parlimen, BN hanya menang lima kerusi manakala Pakatan Rakyat (PR) memperoleh 17 kerusi yang diwakili PKR (9),DAP (4) dan Pas 4 kerusi. Bagaimanapun tiga kerusi Pas yang dimenangi ahli parlimennya kini menjadi kerusi Amanah.

Manakala Dun dimenangi Pakatan Rakyat 44 kerusi dan BN 12 kerusi.

Mat Nadzari juga berkata, dalam PRU13 di Selangor rekod menunjukkan Umno-BN kalah dalam PDM (Pusat Daerah Mengundi) bukan Melayu.

"Gerak kerja komponen BN kini tertumpu kepada bukan Melayu dan menampakkan hasil yang baik setakat ini.

"Sekarang data kita menunjukkan sokongan bukan Melayu sudah meningkat, kita yakin akan dapat meraih kembali sokongan pengundi Cina," ujarnya yang merujuk kemenangan BN di PRK Sungai Besar Mei lalu, sebagai kayu pengukur kembalinya sokongan pengundi Cina terhadap BN untuk PRU akan datang.

Tiada ulasan: