KOTA BELUD: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin
berpendapat tidak salah sekiranya sebahagian 13 kerusi baru DUN di Sabah
diberikan kepada calon muda untuk bertanding pada pilihan raya akan
datang.
Khairy berkata peluang perlu diberikan kepada calon muda untuk menjadi
pelapis pemimpin sekali gus mendapat pengalaman dan berganding bahu
dengan orang lama dalam politik.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata kerajaan akan bertambah hebat jika
kebijaksanaan dan pengalaman orang muda digabungkan dengan orang lama
yang sekali gus membimbing, menasihati dan mengasah bakat kepimpinan
orang muda.
"Bagilah peluang kepada anak muda...kenapa anak muda tidak boleh diangkat dalam pilihan raya yang akan datang.
"Bukan semua kita minta tetapi kita minta selayaknya kita untuk
diberikan peluang," katanya ketika berucap pada majlis penutup Karnival
Varia-C Belia Muhibbah Kota Belud di Kampung Rampayan Laut, di sini
Ahad.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyenaraikan cadangan pengagihan kerusi
baru DUN di Sabah merangkumi Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai
Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila,
Lamag, Segama dan Kukusan.
Penambahan 13 kerusi yang diluluskan Dewan Undangan Negeri pada Ogos akan menyaksikan DUN Sabah mempunyai 73 kerusi.
Dalam pada itu, Khairy berkata calon Barisan Nasional dan Umno berani
berdepan dengan siapa sahaja dalam pilihan raya akan datang.
Dalam perkembangan lain, Khairy mahu golongan muda berani bersuara dan
berfikiran kritis dalam memberi pandangan atau teguran kerana ia tidak
salah tetapi biarlah pandangan atau teguran itu dapat membantu pemimpin
mentadbir dan membina kerajaan yang lebih baik.
Beliau tidak bersetuju tindakan segelintir golongan muda yang membuat
demonstrasi jalanan untuk menjatuhkan pemimpin kerana cara itu adalah
tidak demokratik dan salah dari segi undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan