HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 September 2016

Benarkah DAP dapat 'manfaat' persempadanan semula SPR?



 
Oleh Liew Chin Tong


Presiden Gerakan Mah Siew Keong membuat satu kenyataan yang paling aneh ketika ini yang mendakwa bahawa DAP bakal mendapat manfaat dari cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada masa yang sama, Presiden MCA Liow Tiong Lai juga membuat kenyataan sama dengan menggambarkan bahawa MCA menjadi mangsa dari cadangan persempadanan semula.

Beliau bersungguh-sungguh membayangkan bahawa MCA akan tewas dan ia menjadi keuntungan buat DAP.




Terdapat beberapa pendapat di media berbahasa Cina yang membayangkan bahawa, melalui cadangan persempadanan semula ini, Umno berniat untuk memberi kelebihan kepada DAP dengan mengorbankan MCA dan Gerakan.

Kenyataan sedemikian adalah bersifat palsu serta berniat jahat dan ianya sungguh jauh daripada kebenaran.

Yang menjadi kebenarannya adalah, Umno yang kini berada dalam kesulitan dan telah menjadi kebimbangan samaada mereka boleh terus berada di tampuk kuasa.

Satu-satunya tujuan cadangan persempadanan semula tahun 2016 ini adalah untuk membantu memastikan Umno menang, dengan atau tanpa MCA dan Gerakan, kerana parti-parti ini telah bergantung kepada undi Umno untuk memenangi kerusi.

Kerusi negeri Johor / Kerusi Parlimen

Keadaan di Johor jelas menerangkan tentang tujuan sebenar di sebalik cadangan persempadanan semula SPR.

Jika cadangan persempadanan semula diluluskan tanpa apa-apa pindaan, dan menjangka bahawa prestasi (trend) pengundian sebelum ini berterusan dalam PRU yang akan datang, DAP akan kehilangan dua kerusi DUN, iaitu Perling (yang kini dicadangkan nama baru untuk N46 Pengkalan Rinting) dan N55 Pekan Nanas.

Lanjutan daripada itu, DAP mungkin boleh kehilangan tiga lagi kerusi kepada BN, iaitu Johor Jaya, Tangkak dan Bekok.

Jangkaan bahawa undi majoriti DAP di tiga kawasan ini akan berkurangan kepada kurang daripada 5 peratus, perbezaan yang tipis yang akan meletakkan kerusi-kerusi ini dalam bahaya.

Di Bekok, cadangan persempadanan semula terbaru seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan kepada keputusan pilihanraya.

Namun, ia tetap akan terjejas teruk akibat pembetulan garis sempadan yang dibuat oleh SPR pada bulan April 2016, yang mana ia telah menyebabkan 1,100 pengundi dipindahkan keluar dari daerah mengundi Bekok.

Berdasarkan anggaran kami, 70 peratus daripada pengundi ini adalah mengundi menentang BN pada PRU yang lepas.
DAP bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Paloh pada PRU13 yang lalu dan kalah dengan hanya 103 undi.

Dalam cadangan persempadanan semula ini, Suruhanjaya Pilihan Raya telah mencadangkan untuk memindahkan keseluruhan daerah mengundi Felda Kahang Barat, yang mempunyai 2,464 undi, dari daerah mengundi Kahang kepada daerah mengundi Paloh.

Kesan teruk

Seramai 80 peratus daripada pengundi Felda Kahang Barat mengundi BN pada tahun 2013. Ini jelas menunjukkan ia untuk menjamin kemenangan BN di Paloh pada pilihanraya depan, dan meranapkan harapan DAP untuk menang di Paloh.

Pakatan Harapan memegang lima kerusi Parlimen di Johor, empat kerusi ditandingi oleh DAP (Kulai, Kluang, Gelang Patah dan Bakri) dan satu lagi ditandingi oleh PKR (Batu Pahat).

Cadangan persempadanan semula mungkin membawa sedikit kesan positif kepada DAP di Bakri, Kluang dan Gelang Patah, tetapi ini akan memberi kesan negatif di Kulai dan Batu Pahat. Hasil dari pilihanraya di kerusi-kerusi ini akan bercampur-campur.

Adalah amat penting untuk memahami mengapa di tempat-tempat seperti Gelang Patah dan Bakri, akan kelihatan seperti memberi kelebihan yang besar kepada DAP. Sebabnya adalah untuk menyelamatkan kerusi marginal Umno.

Di Gelang Patah, beberapa daerah mengundi di Pulai yang mana ahli parlimennya, Nur Jazlan telah mendapat sambutan yang buruk pada tahun 2013, telah dicadangkan untuk berpindah ke Gelang Patah pada PRU akan datang.

Untuk Bakri, daerah mengundi yang besar dengan 2,000 undi (BN memperoleh hanya 20 peratus pada tahun 2013) di bawah kerusi Parlimen Muar, akan dipindahkan ke Bakri.

Muar adalah kerusi marginal yang mana pembangkang mempunyai peluang yang baik untuk merampas kerusi itu pada pilihanraya umum akan datang.

Sekutu kami dalam Pakatan Harapan menerima kesan yang teruk dari persempadanan semula ini.

Peralihan undi Melayu

Bukit Batu adalah satu-satunya kerusi DUN PKR di Johor. Sejumlah 4,015 atau 14 peratus margin kelebihan akan dikurangkan kepada hanya 1,000 pengundi (3.7 peratus selepas persempadanan semula, menjadikannya dalam jangkauan BN untuk menang.

Untuk mencapai matlamat ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan langkah yang diluar jangkaan dan tidak logik untuk memasukkan daerah mengundi seperti Taman Teratai dan Ulu Choh, yang terletak hampir 50 km dari pusat bandar Bukit Batu yang ditadbir oleh pihak berkuasa tempatan yang lain (Bukit Batu adalah di bawah Majlis Perbandaran Kulai, Taman Teratai dan Ulu Choh di bawah Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah).

Parit Yaani, kerusi yang disandang oleh Haji Aminolhuda, ketua Parti Amanah Negara Johor, juga dalam bahaya.

Daerah mengundi yang terbesar dengan hampir 2,000 pengundi itu akan dipindahkan semula ke kawasan jiran DUN Parit Raja (kerusi selamat untuk BN) dan yang akan menyebabkan majoriti 1200 dikurangkan kepada kira-kira 400 sahaja.

Kerusi DAP dan Pakatan Harapan dalam bahaya kerana cadangan persempadanan semula.

Objektif BN

Bagaimana mungkin DAP mendapat kebaikan daripada cadangan persempadanan semula ini apabila kita berada dalam risiko besar yang mungkin akan kehilangan 5 daripada 13 kerusi sedia ada (40 peratus pengurangan)?

Melainkan jika terdapat peralihan pengundi Melayu memihak kepada DAP, barulah senario tersebut dapat dielakkan.

Bagaimana mungkin DAP mendapat kebaikan daripada cadangan persempadanan semula ini apabila sekutu kami menghadapi bahaya kehilangan kerusi di Johor yang sebelum ini kita mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan campuran?



Yang paling penting, bagaimana mungkin DAP mendapat kebaikan daripada cadangan persempadanan semula ini apabila pengundi di seluruh negara, termasuk di Johor, kini menghadapi kesulitan yang lebih besar, ketidakadilan dan pembohongan secara terang-terangan yang digambarkan sebagai hak mengundi telah dimanipulasi untuk mengukuhkan pemerintahan BN di Johor dan Malaysia?

Sudah terang bahawa BN telah menetapkan satu objektif yang jelas apa yang mahu dicapai dengan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di pelbagai negeri.

Di Selangor, ia adalah untuk merampas semula negeri itu daripada pembangkang.

Di Perak dan Negeri Sembilan, ia adalah untuk mengukuhkan kuasa, dan cuba untuk mencapai majoriti dua pertiga.

Di Johor, ia adalah untuk melemahkan pembangkang, menghalang kita dari menyeberangi garis 18 kerusi (jumlah yang diperlukan untuk menafikan majoriti dua pertiga).


LIEW CHIN TONG adalah pengerusi DAP Johor merangkap ahli parlimen Kluang.

Tiada ulasan: