Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa mengisi segera kekosongan jawatan nombor dua parti itu diberikan kepada Naib Presiden protemnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir seperti dijanjikan jika mahu parti itu mendapat sokongan rakyat.
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ramai penyokong di peringkat akar umbi parti itu mula mempersoalkan kenapa Muhkriz belum dilantik sebagai timbalan presiden walaupun parti itu sudah diluluskan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).
"Hampir setiap hari saya berada di peringkat akar umbi ramai yang mahukan Mukhriz dinamakan sebagai timbalan presiden secara segera sepertimana yang diuar-uarkan dulu bahawa parti baru ini bakal diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Presiden dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusinya.
"Semua mahu jawatan nombor dua parti Bersatu diisikan dengan melantik Mukhriz untuk menjawatnya," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Khairuddin yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan mendakwa, majoriti rakyat yang buat permohonan untuk jadi ahli parti Bersatu khususnya generasi muda masih menunggu bila masanya Mukhriz akan dilantik.
"Ini janji parti Bersatu pada keseluruhan rakyat. Jawatan presiden dan pengerusi sudah pun diisikan. Mengapa masih menunggu untuk melantik Datuk Seri Mukhriz sebagai jawatan nombor dua tertinggi parti Bersatu?
"Ramai rakyat khasnya dari 'gen y' (Generasi Y) rasa agak kecewa dengan kelambatan menamakan datuk seri mukhriz," ujarnya yang lebih selesa berada di luar Bersatu dan tidak menganggotai mana-mana parti selepas kecewa dengan kepimpinan Umno.
Khairuddin berkata, pada peringkat awal 'bayangan' diberi bahawa Mukhriz akan pikul tanggungjawab sebagai timbalan presiden untuk menarik lebih ramai anak muda menyertai parti ini.
Malahan ujarnya lagi, terdapat ramai rakyat dan anak muda masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat ke atas perlantikan jawatan nombor dua parti Bersatu.
Ditanya kemungkinan Dr Mahathir dan Muhyiddin mempunyai cadangan meletakkan calon lain di kerusi nombor dua parti itu, Khairuddin berkata, isu ini ( jawatan timbalan presiden) sukar untuk diperjelaskan.
"Susah kita nak terangkan isu ini. Rakyat mahu Datuk Seri Mukhriz sebagai timbalan presiden seperti yang pernah digambarkan sebelum Bersatu ditubuhkan," terangnya.
Justeru katanya pada masa ini amatlah perlu dalam apa jua keadaan kepimpinan protem mesti merealisasikan impian dan kehendak rakyat serta generasi muda yang mahukan Mukhriz dinamakan secepat mungkin sebagai timbalan presiden parti Bersatu.
"Semua berharap presiden dan pengerusi parti Bersatu jangan mungkir janji," tegasnya mengulangi pendirian yang dibuat oleh kedua pemimpin itu sebelum penubuhan Bersatu.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah diluluskan penubuhannya oleh Ros pada 9 September lalu dengan mengunakan singkatan PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan