Kira-kira 300 pemandu teksi dari seluruh semenanjung Malaysia hari ini berikrar akan bersatu meneruskan perjuangan menghapuskan kemunculan perkhidmatan kereta sapu profesional, Uber, Grabcar dan Blacklane yang didakwa beroperasi secara haram.
Mereka berhimpun di hadapan Mahkamah Tinggi Jalan Duta dari pagi sehingga tengah hari sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung permohonan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk membatalkan saman yang difailkan 102 pemandu teksi.
Ikrar itu dibuat selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang tidak berpihak kepada mereka.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Spad untuk membatalkan saman yang difailkan 102 pemandu teksi pada Disember tahun lalu.
Saman berkenaan berhubung perkhidmatan kereta sapu profesional, Uber, Grabcar dan Blacklane yang didakwa beroperasi secara haram.
Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu selepas mendapati 102 pemandu teksi berkenaan selaku plaintif gagal memplidkan klausa tindakan munasabah terhadap Spad selaku defendan.
Mahkamah juga memutuskan plaintif menggunakan cara yang salah untuk memulakan tindakan terhadap defendan.
Kesemua plaintif juga diarah membayar kos RM5,000 kepada defendan.
Justeru peguam yang mewakili mereka, Kengadharan meminta mereka memberikan bukti-bukti yang kukuh bahawa pendapatan mereka terjejas akibat kemunculan kereta sapu profesional ini.
“Walaupun kita kalah hari ini tetapi kita harus berbangga kerana dalam sejarah belum ada pemandu teksi bawa Spad ke mahkamah
“Tuan-tuan kena terus perjuangkan kerana ini baru titik permulaan.
“Kita kena buat beberapa keputusan. Kalau kita mahu merayu, rayuan perlu dibuat dalam masa 30 hari dari hari ini dan tuan-tuan kena mengemukakan segala bukti untuk saya berhujah di mahkamah,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Zailani Isausuludin pula menyeru semua pemandu teksi bersatu hati untuk menentang tindakan Spad yang terus membenarkan perkhidmatan Uber,Grabcar dan Blacklane.
“Kita akan terus cari jalan bagaimana nak turunkan Tan Sri Syed Hamid Albar yang mempengerusikan Spad.
“Kita ada mahkamah rayuan dan kita akan teruskan perjuangan,” katanya.
Kira-kira jam dua petang tadi mereka bergerak ke Putrajaya bagi menyerahkan memorandum kepada pejabat Perdana Menteri.
Uber dan Grabcar adalah perkhidmatan teksi yang mengunakan sistem e-hailing sebagai perkhidmatan perantara antara pelanggan dan pemandu teksi.
E-hailing itu sudahpun dibuat oleh kerajaan sebelum munculnya Uber dan Grabcar dengan beberapa syarikat pengendali tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan