HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 September 2016

Beranikah PKR bersikap terbuka isu pemecatan Chegubard?

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Adakah PKR sudah hilang ruh ketelusan dan keluhuran undang–undang yang dilaungkan selama ini? Apakah bezanya PKR dengan parti-parti saingannya, terutamanya Umno, dalam isu menegakkan kebenaran?
 
Persoalan ini dilontarkan terus kepada presiden parti itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail oleh Penasihat Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shahrin dalam surat terbukanya kelmarin, 20 September 2016.
 
Asas persoalan Badrul Hisham atau Chegubard adalah cara PKR menangani isu pemecatannya dari PKR demi “mahu menegakkan keadilan dan membanteras kezaliman dalam parti.”
 
Beliau juga mempersoalkan mengapakah Timbalan Presiden, Azmin Ali menyerang wibawa presiden dan keluarganya kerana tidak dilantik menjadi menteri besar Selangor “dipayungi’ daripada tindakan disiplin.
 
Chegubard bertanya presiden PKR mengapa beliau dipecat kerana membuat teguran secara terbuka sedangkan apabila Azmin menyerang parti di media arus perdana, tidak dikenakan tindakan.
 
“Jika muncul di media dikatakan perkara yang salah, saya mohon Presiden merujuk selepas PRU ke 13 yang mana Azmin Ali merajuk kerana tidak dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, dia menjaja kepada ramai bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menipunya,” katanya.
 
Chegubard menjelaskan  Azmin bertindak demikian kononnya kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjanji kepadanya untuk menjadikan beliau Menteri Besar  Selangor. 
 
“Tetapi malangnya selepas menang katanya Anwar menipunya dengan melantik Tan Sri Khalid Ibrahim semula. Untuk itu ia (Azmin) telah menggerakkan semua pengikutnya menyerang keluarga Presiden, “ katanya.
 
Chegubard mendedahkan bahawa bukanlah rahsia istilah seperti ‘Istana Segambut’ dan seumpamanya yang masih digunakan musuh politik PKR sehingga kini adalah ciptaan kartel Azmin Ali. 
 
“Azmin merajuk dan mula mengumpulkan sokongan beberapa ahli parlimen. Dia membuat sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN sendiri menyerang presiden parti mengamalkan kronisma dan nepotisma. Ia bukan sahaja keluar TV3 malah hampir semua media ketika itu,” katanya. 
 
Dalam surat terbuka lima halaman kepada Wan Azizah yang dikirimkan kepada lebih 370 penama lain, Chegubard menuntut presiden parti itu menjelaskan mengapa beliau dipecat dua kali dalam tempoh 12 hari.
 
“Ini bukan sahaja pelik tetapi agak lucu. Saya dan KEADILAN sendiri mencatat rekod dengan menjadi parti pertama dalam dunia memecat seorang anggota dua kali dalam tempoh 12 hari,” kata Chegubard.
 
Katanya, surat pemecatan pertamanya bertarikh 26 Ogos 2016 dikeluarkan dengan ‘meniru’ tandatangan Setiausaha Agung, Rafizi Ramli yang ketika itu tidak berada di Kuala Lumpur.
 
“Kesalahan meniru tandatangan ini boleh disabit kesalahan Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dengan Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun dan denda.
 
“Amat malang sekali kakitangan ibu pejabat ‘dipaksa’ bertindak oleh seorang pimpinan kanan parti seorang ahli parlimen yang juga seorang peguam untuk melalukan jenayah tersebut,” tegas Chegubard. 
 
Beliau berkata, apa yang dituntutnya ialah penjelasan PKR sama ada ia sudah hilang ruh ketelusan dan keluhuran undang–undang yang dilaungkan selama ini?
 
“Saya dipecat dengan tuduhan baru dan saya tidak dipanggil membela diri. Adakah ini cara KEADILAN mengendalikan keadilan?,” kata Chegubard lagi.
 
Beliau mengakui PKR ada mengeluarkan ‘arahan’ untuk menutup mulut kerana mengkritik dan mendedahkan amalan korupsi dalam pentadbiran kerajaan negeri. 
 
Namun, katanya, arahan berkenaan spesifik kepada isu penyelewengan agihan Zakat dan Isu kontroversi Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang hingga kini belum ada penyelesaiannya.
 
Malah, kata Chegubard isu pembaziran Kubah Masjid Negeri berjumlah RM32.4 juta dan isu #skandal Azmin68054 juga tidak termasuk dalam ‘arahan’ tutup mulut itu.
 
Badrul Hisham mendakwa keputusan memecatnya dilakukan tanpa mesyuarat rasmi. Ia dibincangkan melalui aplikasi ‘whats app’ yang gagal mendapat sokongan majoriti seperti yang dikehendaki perlembagaan parti.
 
“Tuduhan ke atas saya iaitu ‘Menjejaskan imej, memecah belah parti seterusnya ingkar arahan parti” merupakan tuduhan yang berat dan saya langsung tidak diajukan bukti dan dipanggil bela diri,” katanya.
 
Beliau juga mendakwa pernah menyerahkan semua bukti berkaitan kes ‘pintu gerbang’, balak tanpa tender kepada syarikat enterprise, DEIG dan penyelewengan agihan zakat. 
 
“Dalam sesi pertemuan (11 Januari 2016) ketika saya mengajukan bukti kesemua panel  Lembaga Disiplin yang mendengar tidak mampu mematahkan satu pun hujah saya malah mengakui ada sesuatu yang sangat tidak kena dan parti perlu bertindak. 
 
“Namun kemudian Lembaga Disiplin (18 Febuari 2016) mengeluarkan satu surat mengatakan bahawa semua yang saya adukan di luar bidang kuasa tanpa dinafikan pembuktian aduan,” katanya.
 
Badrul Hisham menyindir bahawa PKR  menyambut Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai wira kerana berani mengkritik Datuk Seri Najib Razak secara terbuka berkenaan kepincangan dan penyelewengan Umno. 
 
“Bila Umno memecat Muhyiddin dan konconya kita serang Umno sebagai bacul penakut dan menutup penyelewengan. Muhyiddin dan konconya dipecat kerana memburukkan imej parti dan memecah-belahkan parti.
 
“Adakah kita berbeza dengan mereka? Jawablah dengan jujur dan lancar dengan rakyat. Adakah kita hanya berlawan (Umno) untuk ambil alih kuasa namun dari segi prinsip kita sama?” tingkah Chegubard.
 
Chegubard berkata,  beliau pernah dipujuk berdiam, ditawar membungkam, namun tidak mahu mengenepikan didikan reformasi bahawa bila nampak penyelewengan, ia mesti “lawanlah sepenuh jiwa dan tenaga”. 
 
“Saya belajar dari bawah, dari petugas parti memanjat tiang menggantung bendera sehinggalah menganjur program besar yang membawa saya menjelajah lokap ke lokap, mahkamah ke mahkamah. 
 
“Saya pernah memangku anak yang baru seminggu lahir demam kuning teruk tetapi tidak mampu saya masukkan ke hospital kerana tidak cukup belanja.
 
“Sebaliknya saya hanya zikirkan kalimah nama – nama Allah dan berdoa. Itu belum dikira rumah sewa dikunci kerana tidak membayar sewa. Namun dalam perjuangan saya diajar jangan mengeluh sebaliknya terus bergembira, katanya.
 
Chegubard mendakwa, hanya kerana bercakap benar dan berlawan atas prinsip beliau difitnah kononnya dibiaya oleh Umno dan ada juga menuduh beliau kononnya dibiaya DAP.  
 
“Demi Allah saya tidak dibayar hanya untuk khianat prinsip saya sendiri, malah saya sendiri sehingga kini masih menanggung hutang kewangan dari rentetan perjuangan ini,” tegas Badrul.
 
Beliau kesal dalam isu berkenaan beberapa temannya ‘ditekan’ oleh pimpinan parti dengan ugutan pecat jawatan lantikan politik hanya kerana bergambar dengannya  dalam facebook.
 
“Nampaknya untuk mempertahankan korupsi Azmin, ramai hilang pertimbangan,” dakwa Chegubard. Benarkah Kak Wan?
 
 

Tiada ulasan: