PUTRAJAYA: Orang ramai masih boleh mendaftar dengan Sistem Daftar
Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun selepas tarikh 30
September 2016.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, berkata tarikh 30
September 2016 adalah tarikh akhir bagi pendaftaran yang akan dimasukkan
dalam Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga 2016.
"Selepas tarikh itu, bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2016
mana-mana orang yang mendaftar dalam tempoh itu akan dimasukkan dalam
Daftar Pemilih Tambahan bagi suku keempat 2016.
"SPR mewartakan Daftar Pemilih Tambahan berdasarkan suku tahun iaitu
suku tahun pertama (Januari hingga Mac), suku tahun kedua (April hingga
Jun), suku tahun ketiga (Julai hingga September) dan suku tahun keempat
(Oktober hingga Disember).
"Justeru, kenyataan yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini
bahawa 30 September 2016 adalah tarikh tutup yang melayakkan seseorang
untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) jika diadakan pada
Mac 2017 hanyalah andaian pihak tertentu dan tidak benar," katanya dalam
satu kenyataan di sini.
Katanya, SPR menyarankan supaya orang ramai yang masih belum mendaftar
sebagai pemilih agar mengambil peluang mendaftar dengan segera tanpa
menunggu di saat akhir atau disebabkan oleh viral tertentu saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan