HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 September 2016

Pembangkang takkan berjaya capai persefahaman bernaung bawah satu logo - Penganalisis

Oleh Nur Atiqah Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penganalisis politik berpendapat pembangkang tidak akan berjaya mencapai persefahaman untuk membolehkan mereka bernaung di bawah satu nama dan logo seperti yang diamalkan Barisan Nasional (BN).
 
Menurut Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, walaupun ia adalah satu cadangan yang realistik namun perbezaan yang sangat ketara berdasarkan kepada pokok perjuangan ideologi parti masing-masing menyebabkan mereka sukar untuk bekerjasama di bawah satu 'bumbung'.  
 
"Apakah hasrat ini akan dapat direalisasikan dengan jayanya? Saya kira mungkin sukar kerana kita lihat perbezaan yang ada dalam parti komponen pembangkang pada hari ini semakin nyata terutama pergeseran diantara PAS yang memperjuangkan isu hudud dan DAP yang kita lihat sangat menentang. 
 
"PAS juga tidak mahu bekerjasama atau berada bersama-sama dalam sebarang meja perundingan dengan Amanah kerana mereka melihat bahawa Amanah adalah serpihan PAS dan mereka merasakan penubuhan Amanah sebagai satu tindakan protes.
 
"Perbezaan sangat ketara dalam pakatan pembangkang ini menyebabkan mereka sukar untuk bersatu bersama-sama sebagai sebuah gagasan bagi menentang BN pada PRU14," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau mengulas mengenai cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mahu kesemua parti pembangkang membentuk satu barisan yang bernaung di bawah satu logo bagi mendepani BN pada PRU14 akan datang. 
 
Idea itu timbul bagi memastikan wujud pertandingan satu lawan satu, sekali gus mengelakkan kekeliruan di kalangan pengundi.
 
Dr Ahmad Martadha berkata, walaupun hasrat itu seringkali disuarakan oleh pemimpin pembangkang ia sukar dizahirkan kerana masing-masing mempertahankan ideologi dan perjuangan parti.
 
"Apabila parti komponen pembangkang ini tak mampu bersetuju atas satu dasar perjuangan maka saya kira sudah tentulah jika perkara pokok yang melibatkan ideologi parti pun sukar untuk dipersetujui dan bagi mencapai kata sepakat.
 
"Maka sudah tentulah perkara-perkara lain seperti pembahagian kerusi, penentuan kawasan bertanding. Saya kira itu perkara penting didalam memetrai sebarang kerjasama," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: