Wartawan Sinar Harian
SHAH ALAM - Generasi muda kini lebih cenderung kepada parti politik yang telus dan dapat mewakili suara mereka.
Presiden Pertubuhan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan, Mohd Syahbudin Hashim berkata, maka tidak hairanlah anak muda memilih parti pembangkang yang lebih banyak menawarkan ciri-ciri tersebut.
“Kemunculan parti baru seperti Amanah dan Bersatu, misalnya, membuka ruang yang banyak kepada orang muda. Maka, orang muda yang tak dapat tempat di parti tertentu akan memilih parti sebegini.
“Sebab itulah saya lihat ramai orang muda menghiasi parti pembangkang kerana ruang yang diberikan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Bagaimanapun, katanya, parti kerajaan seperti Umno turut tidak ketinggalan dan masih menjadi pilihan anak muda.
“Dalam Umno ada pemimpin muda seperti Khairy Jamaluddin (Abu Bakar) yang menjadi ikon kepada golongan belia. Apa saja yang dilakukan beliau menjadi ikutan kepada mereka.
“Namun, Umno tidak boleh hanya berharap kepada Khairy, tetapi perlu menyediakan lebih ramai pemimpin muda sebagai pelapis,” katanya.
Menurut beliau, mana-mana parti juga perlu mengadakan lebih banyak program untuk mendengar pandangan golongan belia.
“Kalau kita lihat di bandar, orang muda ramai tak sokong kerajaan. Sebab apa? Sebab pendekatan digunakan sudah lama dan tidak sesuai dengan orang muda.
“Jadi, dari segi gerakan, perlu mesra dengan orang muda. Perlu diingat, suara orang muda bukan bermaksud mereka menentang, tetapi mereka hanya menyuarakan perbezaan pendapat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan