KUALA LUMPUR:
Kementerian Pengangkutan menganggarkan sebanyak 1.2 juta penunggang
motosikal di negara ini tidak memiliki lesen, kata Timbalan Menterinya
Datuk Ab Aziz Kaprawi .
Beliau berkata anggaran itu adalah
berdasarkan andaian penunggang motosikal tanpa lesen adalah antara lapan
hingga 10 peratus daripada 15 juta penduduk yang layak memiliki lesen.
“Mengikut data, hanya 7.6 juta penduduk
yang mempunyai lesen motosikal dan ini bermakna lebih kurang 50 peratus
mereka yang berusia 16 tahun ke atas memiliki lesen itu,” katanya
menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pada persidangan
Dewan Rakyat hari ini.
Johari bertanya mengenai jumlah
motosikal yang berdaftar, penunggang tidak berlesen dan sistem
pengambilan lesen yang beliau dakwa sebagai menyusahkan serta kos yang
tinggi menjadi punca penunggang tidak mahu mengambil lesen.
Ab Aziz berkata berdasarkan rekod
pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sehingga 31 Dis tahun
lalu sebanyak 12,089,747 buah motosikal didaftarkan.
Beliau berkata kerajaan amat menitikberat isu-isu berhubung keselamatan jalan raya termasuk aspek prosedur pelesenan pemandu.
Katanya berdasarkan kawalan harga siling
yang ditetapkan, kos pengambilan lesen bukanlah faktor utama golongan
remaja terutama pelajar menunggang tanpa lesen.
Sebaliknya menurut Ab Aziz, ia lebih
kepada sikap dan kurangnya tahap kesedaran mereka tentang bahaya
menunggang tanpa lesen dan kepentingan keselamatan diri semasa di jalan
raya yang perlu ditangani melalui program advokasi dan penguatkuasaan
yang lebih berkesan. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan