KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, isu
1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah terlalu dipolitikkan dan pihak
tertentu dalam Malaysia cuba mengeksploitasinya untuk kepentingan
politk peribadi mereka.
Katanya, mereka ini yang telah "menyalurkan kepada pihak berkuasa asing maklumat yang adakalanya salah atau tidak lengkap."
"Mereka yang berada di luar Malaysia adakalanya tidak mudah untuk
memahami kerumitan isu ini, dan ia suatu yang mereka harus ingat supaya
tidak terjebak dalam perkara ini yang kini merupakan isu politik dalaman
negara," kata Najib dalam interviu bertulis dengan Nikkei Asian Review
sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Jepun mulai hari ini.
Lawatan itu adalah atas jemputan rakan sejawatannya Shinzo Abe. Najib
berkata pihak berkuasa Malaysia, yang sebenarnya telah memulakan
penyiasatan dalam isu 1MDB, dan beliau sendiri yang terlebih dahulu
mengarahkan pelbagai pihak untuk menjalankan siasatan.
Najib diminta mengulas tentang tindakan kerajaan asing menyiasat
dakwaan mengenai penyelewengan dana berkaitan 1MDB dan sama ada beliau
menganggapnya sebagai suatu campur tangan serta sama ada Malaysia akan
membuka semula siasatannya.
Perdana Menteri berkata, beliau telah berulang kali menegaskan bahawa
kerjasama penuh perlu diberi terhadap mana-mana siasatan, dengan syarat
ia tidak bercanggah dengan undang-undang Malaysia.
"Malah, seperti yang sering saya tegaskan, sekiranya terbukti berlaku
sebarang salah laku, undang-undang akan diambil tanpa sebarang
pengecualian," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan