Jawatankuasa
Induk Penyelarasan Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah menerima 681
usul dari konvensyen UMNO Negeri seluruh negara untuk ditapis dan
dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 29 November hingga 3
Disember ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata,
setelah meneliti semua usul berkenaan pihaknya telah pecahkan kepada
beberapa kategori seperti politik, ekonomi, pendidikan dan agama.
Katanya, daripada usul itu, sebanyak 510 diluluskan untuk dibahas,
manakala 171 usul lagi diterima sebagai usul tanpa bahas dan tidak ada
usul yang ditolak.
"Apabila kita menerima semua usul dari UMNO Negeri, ini menunjukkan
kita bersikap terbuka dan beranggapan usul itu untuk kepentingan ahli
dan rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat
Induk Penyelarasan Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah di Menara Dato’
Onn di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata, jawatankuasa itu adalah hasil naiktaraf dari
perbincangan meja bulat sebelum ini kepada Pemerkasaan Agenda Ummah atau
singkatannya PAU.
Beliau menjelaskan, jawatankuasa itu bersetuju melantik Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
sebagai Pengerusi PAU, yang bertanggungjawab menyelaras setiap isu dan
usul sebelum Perhimpunan Agung UMNO bermula.
"Saya hanya diamanahkan untuk melihat setiap usul yang diterima di
peringkat negeri sebelum menyerahkan kepada Dr. Asyraf untuk
diselaraskan dengan persetujuan ahli-ahli jawatankuasa,” katanya.
Sementara itu, menurut Dr. Asyraf Wajdi, UMNO adalah parti bersifat inklusif yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.
"Kita mengutamakan ahli, rakyat dan kelompok berkepentingan dalam
menggerakkan parti supaya ia tetap relevan selama-lamanya," katanya. -
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan