MALAYSIA TODAY
Zahid tidak melihat perbezaan antara dirinya dan Anwar, sebaliknya lebih menumpukan persamaan pada diri masing-masing.
(FMT) – Muhammad Zahid Md Arip yang
dahulu lantang menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menganggap ketua
umum PKR itu sudah “bersih” dan sedia bekerjasama dengannya.
Bekas mursyidul am kelab Tolak Individu
Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) itu kini adalah ahli Majlis Pimpinan
Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Zahid berkata, beliau tidak melihat
perbezaan dalam dirinya dan Anwar, sebaliknya lebih menumpukan persamaan
antara mereka berdua.
“Kita tutup buku lama, kita buka buku
baharu kerana Anwar berada di dalam, saya berada di luar. Kita menentang
Anwar dari segi politik, ada perangai dan tingkah laku dia yang saya
tidak setuju.
“Kita hanya lawan politik sahaja. Kini,
apabila kita hendak bekerjasama, kita tidak tengok pada perbezaan,
tetapi kita lihat pada persamaan,” katanya kepada FMT.
Zahid berkata, persamaan mereka ialah
hendak menentang kemungkaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
dalam mentadbir negara.
“Persamaannya adalah Anwar menentang
kemungkaran yang dilakukan Najib dan saya juga menentang perkara sama.
Kita sama dari segi itu, jadi tidak ada masalah,” katanya.
Zahid lantang mempertahankan Anwar
yang dipecat Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad
daripada Kabinet dan Umno, pada zaman reformasi 1998.
Kedudukannya sebaris bekas senator, Datuk
Ezam Mohd Nor dan bekas setiausaha Angkatan Muda Keadilan, Lokman Noor
Adam, sebelum beliau dilantik sebagai naib ketua Angkatan Muda Keadilan.
Zahid bagaimanapun bangkit menentang
Anwar kerana kecewa dengan sikap bekas ketua pembangkang itu
mempertahankan kumpulan cauvinis Cina dalam dasar pendidikan negara,
sebelum menubuhkan Tibai pada 18 April 2012.
Tibai dibubarkan pada 11 Februari 2015,
sehari selepas Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun
kepada Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd
Saiful Bukhari Azlan.
Bagaimanapun, pada 12 Mac 2015, Zahid
mengumumkan TIBAI diubah nama kepada Tolak Individu Bernama Anwar Bin
Ibrahim (TIBABI) dengan alasan kes membabitkan Anwar dianggap belum
selesai walaupun dia dipenjarakan.
Zahid yang menyifatkan hubungan beliau
dengan Anwar sebagai sejarah lama percaya pengalamannya akan menjadi
bekalan untuk beliau menghadapi masa depan lebih mencabar.
“Parti pembangkang di dalam negara belum
mempunyai track record menjahanamkan Najib. Mereka hanya melihat tingkah
laku Najib dan Barisan Nasional. Peluang harus diberikan.
“Saya yakin mereka tidak akan mengulangi
kesilapan Najib dan BN. Seharusnya, rakyat memberi peluang untuk mereka
memperbetulkan kesilapan,” katanya.
Zahid turut mengibaratkan kerjasama PPBM dan parti pembangkang lain penting untuk menjatuhkan Najib dan BN.
“Saya umpamakan mengait buah rambutan
setinggi 9 kaki, galah yang ada pada parti pembangkang setakat ini
hanyalah setakat 7 kaki. Bertengek macam mana sekalipun tidak akan
sampai.
“Melengkapkan proses mengait buah rambutan itu adalah PPBM yang mempunyai 3 kaki lagi galah. Kerjasama ini penting,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan