KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata
hanya empat lebuh raya berhak menerima kenaikan tol pada tahun depan
berdasarkan perjanjian konsesi lebuh raya yang sedang berkuat kuasa.
Empat lebuh raya berkenaan, kata Fadillah, ialah Lebuhraya Penyuraian
Trafik Johor Timur (EDL), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Lebuhraya
Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).
"Anggaran jumlah pampasan tol tahun 2017 bagi empat lebuh raya tersebut
ialah RM59.77 juta," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim
Guan Eng (DAP-Bagan) di Dewan Rakyat hari ini.
Guan Eng sebelum itu bertanyakan hasil perbincangan dengan syarikat
konsesi lebuh raya yang akan menaikkan tol tahun depan dan jumlah
pampasan yang perlu dibayar kerajaan sekiranya tol tidak dinaikkan.
Guan Eng turut bertanya mengenai kos pembinaan dan kutipan tol di
Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) setakat ini, serta sebab tol di lebuh
raya itu tidak dimansuhkan.
Fadillah berkata lebuh raya itu dibina pada 1989 dan siap pada 1994
dengan kos RM5.9 bilion yang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi
kecuali kos pengambilan tanah yang ditanggung kerajaan.
Berdasarkan perjanjian asal (1988), beliau berkata konsesi lebuh raya
itu sepatutnya tamat pada 2018 namun, berikutan usaha mengurangkan kesan
kenaikan tol, kerajaan terpaksa menstruktur semula kadar tolnya iaitu
pada 1999, 2002 dan 2011.
"Di bawah penstrukturan PLUS terkini (2011), semua konsesi tol lebuh
raya di bawah syarikat PLUS Berhad termasuk Lebuhraya Utara Selatan
telah diselaraskan yang mana ia akan berakhir pada 31 Dis 2038,"
katanya.
Fadillah berkata sehingga akhir 2015, jumlah kutipan tol keseluruhan di Lebuhraya Utara Selatan sahaja ialah RM36.39 bilion.
Jumlah pampasan tunai yang telah dibayar kepada syarikat konsesi PLUS
berikutan penangguhan kenaikan tol bagi lebuh raya berkenaan untuk
tempoh sehingga 2015 ialah RM917.1 juta, katanya.
Beliau menjelaskan walaupun syarikat konsesi menerima jumlah kutipan
tol yang tinggi, ia tidak bermakna mereka mengaut keuntungan yang besar
kerana ia perlu dibelanjakan untuk pelbagai komitmen lain.
"Secara purata syarikat konsesi perlu membayar balik pinjaman kepada
institusi pemberi pinjaman atau bank sebanyak 45 hingga 50 peratus
daripada hasil kutipan tol yang diperoleh, operasi dan penyelenggaraan
(20 peratus) serta kos untuk membaik pulih dan menaik taraf lebuh raya
(15 hingga 20 peratus)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan