shahbudindotcom
Ketua
Penerangan UMNO, Annuar Musa yang kalah pada pilihanraya 1990, tetapi
kemudian dikutip oleh Tun Mahathir Mohamad untuk dijadikan menteri,
menganggap kehadiran bekas Perdana Menteri itu di Parlimen semalam
umpama membawa kereta antik ke perlumbaan Formula 1.
Katanya, kereta antik memang cantik untuk dipandang, namun tidak relevan untuk berlumba.
Annuar
berkata demikian untuk memperlekeh kehadiran Tun Mahathir buat kali
pertama ke Parlimen untuk bersama-sama Ahli-Ahli Parlimen pembangkang
membincangkan mengenai kencenderungan kerajaan menggunakan ancaman OSA
dan Akta Hasutan terhadap mereka.
Tun
Mahathir, selain mengatakan Bangunan Parliman sekarang hanya cantik di
luaran tetapi tidak dalam pengisian, juga mengimbas era pemerintahannya
selama 22 tahun yang tidak pernah menghalang kebebasan bersuara di
Parlimen, meskipun pelbagai tuduhan liar seperti Mahazalim dan
Mahafiraun sering ditujukan kepadanya.
Mesej
kehadiran beliau tentu saja difahami oleh rakyat dan menunjukkan
wujudnya perbezaan yang ketara dengan pemerintahan Najib Razak sekarang.
Sebagai
Ketua Penerangan UMNO dan mungkin masih berharap untuk dilantik semula
sebagai menteri, kerja Annuar selain membela Najib, tentu saja
memperlekeh apa jua yang dilakukan oleh Tun Mahathir.
Dengan
mengumpamakan bekas Perdana Menteri itu seperti kereta antik, walaupun
bertujuan memperlekeh, Annuar yang kini merupakan antara panglima Najib
Razak, secara tidak langsung mengakui kehebatan dan bernilai tingginya
Tun Mahathir di mata umum.
Tun
Mahathir dengan gambaran yang sedemikian, bermakna tidak pernah susut
harga dan sentiasa bernilai tinggi kepada rakyat jelata.
Tetapi, jika Tun Mahathir digambarkan seperti kereta antik, Najib selayaknya diumpamakan seperti apa pula?
Kereta potong? Kereta recond? Kereta remote control?
Atau kereta yang sudah rosak di sana sini dan wajib dijual dan ditukar dengan yang baru?
Begitu juga dengan barisan anggota kabinet dan pemimpin UMNO yang ada, mereka sebenarnya seperti apa?
Tidakkah
hampir semuanya tidak lebih bagaikan kereta potong atau kereta recond
yang hanya kelihatan cantik di atas jalan, sebaliknya banyak bertampal
serta berkimpal di sana sini?
Malah,
jika pun mahu disamakan seperti kereta Formula 1, tiada di antara
mereka, termasuk Najib yang layak pun untuk menghabiskan pusingan
perlumbaan sehingga tamat persaingan.
Pemimpin-pemimpin
UMNO yang ada, termasuk Annuar Musa antaranya, hanya tahu mengaum dan
menderum dengan kuat, tetapi seperti kebanyakan kereta Formula 1 tidak
berjenama terkenal atau sentiasa kurang bajet, sering saja terkandas dan
terbabas seawal pusingan pertama lagi.
Hanya
jika ada tambahan bajet atau munculnya penaja, barulah mereka akan
mengaum dan menderum lagi di perlumbaan seterusnya, tetapi tetap tidak
mampu menamatkan pusingan, jauh sekali mengimpikan menaiki podium.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan