KUALA LANGAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) menjangkakan masalah kekurangan minyak masak paket
bersaiz 1kg di beberapa tempat, dapat diatasi secara berperingkat dalam
tempoh seminggu lagi.
Ketua Penolong Pengarah Unit Antipencatutan kementerian, Low Swee Hon
berkata pihaknya yakin kekurangan bekalan minyak itu hanya sementara
berikutan wujudnya situasi pembelian panik dalam kalangan pengguna.
"Sejak awal minggu ini KPDNKK menerima aduan daripada orang ramai
mengenai kekurangan bekalan minyak masak paket 1kg di beberapa tempat di
seluruh negara.
"Siasatan awal menunjukkan keadaan ini berlaku disebabkan pembelian
panik dalam kalangan pengguna yang membeli minyak masak dalam kuantiti
yang banyak,"katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke
kilang Penapisan Minyak Masak Sime Darby di sini, Khamis.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) Iskandar Ismail.
Berikutan itu, Low menasihatkan pengguna supaya jangan panik dan tidak
membeli minyak masak dalam kuantiti yang banyak sehingga menyebabkan
bekalan minyak bersubsidi itu berkurangan di pasaran.
Beliau berkata pihaknya akan melakukan pemantauan secara berterusan
bagi memastikan tiada ketirisan berlaku dalam penjualan minyak masak
tersebut.
"Bagi menyelesaikan masalah itu, kita minta pembeli mengehadkan
pembelian minyak masak 1kg iaitu dua paket untuk setiap pembelian.
"Pengguna juga tidak perlu bimbang kerana harga minyak masak paket 1kg
masih kekal pada harga RM2.50, cuma minyak dalam botol sahaja mengikut
harga pasaran,"katanya.
Mengulas mengenai pemeriksaan yang dilakukan ke atas pengilang, Low
berkata buat masa ini pihaknya tidak menemui sebarang kesalahan menahan
atau menyorok bekalan.
Beliau berkata pengilang seperti Sime Darby, contohnya, tetap
meneruskan operasi dan mencuba sebaiknya untuk mengagihkan bekalan
minyak mengikut kuota yang ditetapkan kerajaan.
"KPDNKK berharap pengguna boleh beri masa kepada pengilang atau
pengeluar minyak ini untuk memenuhi permintaan atau memenuhi stok
bekalan minyak ini dalam tempoh seminggu lagi," katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri
Hamzah Zainuddin sebelum ini mengumumkan penstrukturan semula Skim
Penstabilan Harga Minyak Masak, di mana minyak masak paket 1kg kekal
berharga RM2.50 manakala minyak masak dalam botol dijual mengikut harga
pasaran mulai 1 November.
Hamzah dilaporkan berkata penstrukturan semula dilakukan berikutan
kenaikan harga minyak sawit daripada RM2,300 satu tan pada Januari tahun
lepas kepada hampir RM3,000 satu tan sehingga September lalu,
menyebabkan kerajaan menanggung subsidi yang tinggi.
Tanpa penstrukturan semula harga minyak masak itu, kerajaan terpaksa
menambah perbelanjaan hampir RM100 juta sebulan untuk menanggung subsidi
minyak masak bagi November dan Disember berikutan kenaikan harga minyak
sawit yang diproses.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan