shahbudindotcom
Membaca kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO, Radzi Sheikh Ahmad yang mengatakan PPBM atau lebih senang disebut sebagai Bersatu, mampu memberi cabaran lebih sengit kepada UMNO berbanding Semangat 46, ia membuatkan saya tiba-tiba rasa terpanggil untuk bersikap jujur dan ikhlas kepada Najib Razak.
Dalam wawancara dengan sebuah
akhbar Cina, Radzi dipetik sebagai memberi amaran kepada UMNO agar tidak
memandang rendah kepada keupayaan Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin
Yassin yang kini memimpin PPBM.
Katanya, cabaran yang bakal dihadapi UMNO akan lebih sengit berbanding tentangan Semangat 46 pada akhir tahun 80-an dahulu.
Atas
rasa jujur dan ikhlas, bagi saya, kenyataan Radzi ini merupakan
pandangan paling tidak jujur dan tiada keikhlasan kepada Najib. Dalam
bahasa mudah, ia hanya mengarut semata-mata.
Kenyataan
yang benar-benar jujur dan ikhlas kepada Najib ialah pendangan
menteri-menteri seperti Ismail Sabri Yaakob, Shabery Cheek, Salleh Said
Keruak dan beberapa yang lain yang selalu menyebut bahawa PPBM tidak
mampu ke mana-mana dan hanya akan menuruti sejarah Semangat 46 sahaja.
Ya...percayalah,
PPBM ini kalau pun tidak menyamai sejarah Semangat 46, masa depannya
tentu lebih buruk daripada itu. Tidak mungkin ia lebih hebat berbanding
Semangat 46.
Bukankah yang memberi pandangan sedemikian adalah menteri-menteri yang hebat lagi bijaksana?
Jadi, sudah tentu cakap mereka adalah benar semuanya.
Lagi
pun, Nazri Aziz, seorang lagi menteri UMNO ada mengatakan Tun Mahathir
sudah tua, berusia 91 tahun, tidak upaya lagi dan baling gelas pun tak
pecah.
Muhyiddin pula, kata Nazri, tidak ada pengaruh dan kekuatan pengaruhnya selama ini hanya kerana UMNO.
Maka, mana mungkin PPBM mampu memberi cabaran lebih besar kepada UMNO?
Sekali
lagi saya ulang, ini adalah pandangan yang jujur dan ikhlas daripada
saya. Saya harap Najib abaikan saja kenyataan Radzi ini, tidak perlu
risau atau gundah gulana terhadap PPBM, Tun Mahathir atau Muhyiddin.
Ikut
dan dengarlah apa yang dikatakan oleh Ismail Sabri, Shabery Cheek,
Salleh Said Keruak, Nazri Aziz dan lain-lain pemimpin UMNO yang sentiasa
jujur, ikhlas dan tiada sama sekali kepentingan peribadi mereka
terhadap Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Najib
juga jangan harus lupa dengan kata-kata ikhlas Nallakaruppan yang
baru-baru ini diberi gelaran Tan Sri bahawa beliau mampu menandingi
kehebatan Tun Mahathir dalam tempoh 10 tahun akan datang, malah
dikatakan ada persamaan dengan Mahatma Ghandi.
Ini
tentunya adalah kenyataan paling ikhlas Nalla terhadap kehebatan Najib
dan ia dengan sendirinya membuatkan semua cabaran daripada PPBM, Tun
Mahathir dan Muhyiddin akan tenggelam dengan sendirinya.
Maka, mahu apa lagi?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan