KUCHING: Sejumlah 12 laporan polis diterima di seluruh negeri sehingga
jam 9 malam tadi terhadap pemilik akaun Facebook 'Sarawak Keluar
Malaysia 2021' yang cuba menjejaskan hubungan baik antara Kerajaan
Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata
daripada jumlah keseluruhan itu, tujuh laporan dibuat di Kuching, Miri
(3) dan masing-masing satu di Padawan serta Serian.
"Kita sedang menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 4(1) Akta
Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. "Kita juga
sedang menjejaki pemilik akaun Facebook berkenaan," katanya.
Laporan polis itu dibuat berikutan muat naik status yang lebih berunsur cubaan melaga-lagakan kepemimpinan negeri dan Pusat.
Ini termasuk menyebarkan fitnah kononnya Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mahu membawa Sarawak keluar dari Malaysia.
Isnin lalu, Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam satu kenyataan
menafikan perkara itu dan menyifatkan pemilik akaun berkenaan sebagai
berniat jahat. Ini kali kedua siasatan terhadap pengguna Facebook di
negeri ini dalam tempoh seminggu.
Ahad lalu, polis turut mengambil tindakan menyiasat status Facebook dan
sebaran WhatsApp yang viral mengenai kes kanak-kanak diculik dan
dibunuh bagi tujuan pengambilan serta penjualan organ dalaman yang
kononnya berlaku di Singai, Bau.
Mengulas kes berkenaan, dua wanita masing-masing dari Bau dan Kuching ditahan selepas menyerah diri untuk membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan