shahbudindotcom
Salahkah bila Tun Mahathir Mohamad memakai lencana "Free Anwar Now" pada bajunya?
Salahkah juga apabila Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir memegang plakad yang tertulis "Free Anwar"?
Sejak
petang semalam terlihat meriah sungguh serangan dan persendaan terhadap
tindakan Tun Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz itu sambil mereka turut
dilabel dengan bermacam-macam tanggapan seolah-olah telah melakukan dosa
yang sangat besar.
Apakah tindakan mereka itu suatu dosa dan melambangkan sikap hipokrasi dalam perjuangan?
Jika
diperhalusi, tiada apa-apa yang salah sebenarnya. Tun Mahathir dengan
Anwar sudah pun berbaik, bertemu dan bersalam antara satu sama lain.
Begitu juga dengan Muhyiddin.
Mereka
juga sudah sepakat dalam beberapa perkara dan bersetuju dengan hakikat
perlunya Najib Razak disingkirkan atas kesalahan yang dilakukannya yang
bukan saja merosakkan negara, malah menjadi perbualan di seluruh dunia.
Maka, setelah sealiran begitu, apakah salahnya lagi jika mereka mahu Anwar dibebaskan dalam penjara?
Lagi
pun Anwar dipenjara sekarang bukan kerana Tun Mahathir, sebaliknya
berlaku di era Najib di mana Saiful Bukhari yang mendakwa diliwat itu
didapati telah pun bertemu Najib dua hari sebelum membuat laporan
polisnya.
Sama
ada Anwar benar-benar melakukan seperti apa yang didakwa Saiful,
biarlah Tuhan yang menentukannya. Bukan kerja kita menentukannya.
Tetapi,
dalam proses mahkamah, keadilan adalah penting. Sebab itu, dalam kes
bunuh atau rasuah misalnya, banyak yang akhirnya didapati tidak bersalah
kerana wujudnya beberapa kecurigaan berkaitan kejadian dan bukannya
kerana tidak melakukan kesalahan.
Itulah keadilan dalam mahkamah dan ia diakui di seluruh dunia, selebihnya bukan lagi kerja manusia.
Dan
jika pun Tun Mahathir ada kesalahan-kesalahan lampau terhadap Anwar,
kita juga seharusnya berbangga kerana bekas Perdana Menteri selama 22
tahun juga sedia berbaik dan menebusnya kembali.
Tidakkah ia sikap terpuji yang harus sama-sama kita hargai? Adakah kita turut menpunyai sikap seperti itu?
Dari
segi perjuangan pula, kiranya mahu dikata hipokrit dan berdosa,
sebenarnya adalah jauh lebih hipokrit dan berdosa kiranya Tun Mahathir,
Muhyiddin dan Mukhriz terus bersama Najib sekarang ini.
Tidak
ada mana-mana tamadun yang dapat menerima apa yang dilakukan Najib
sekarang merupakan suatu kebaikan dan amalan yang boleh dipuji.
Dengan
itu, kesanggupan mereka berjuang melawan Najib, ia adalah lambang sikap
progresif dan sedia berkorban demi kepentingan rakyat dan negara.
Filipina,
Indonesia, Thailand dan beberapa negara Arab telah pun lebih dulu
menghalau pemimpin mereka yang tidak amanah dan bersikap kleptorat.
Kita masih dikira terlambat dalam hal ini.
Apakah
mereka yang sedang mempertahankan Najib sekarang tidak rasa bersalah
atas perbuatan mereka sedangkan bukan saja Malaysian Official 1 disebut
dalam pendakwaan Jabatan Kehakiman AS, bahkan juga kes penggubahan wang
haram berkaitan 1MDB yang sedang dan akan dibicarakan di beberapa
negara lain?


Tiada ulasan:
Catat Ulasan