shahbudindotcom
Keputusan
pihak polis melarang debat antara Tun Mahathir Mohamad dengan Nazri
Aziz yang sepatutnya diadakan pada 7 April depan atas faktor
keselamatan, ketenteraman awam dan mengelakkan kacau-bilau, nampaknya
ditolak oleh pelbagai pihak.
Bukan
saja pemimpin-pemimpin blok pembangkang yang tidak dapat menerima
alasan pihak berkuasa itu, malah pemimpin-pemimpin UMNO, termasuk Nazri
sendiri menolak alasan itu.
Bagi Tun Mahathir, debat itu ditolak permitnya tidak lain kerana Najib Razak takut kebenaran akan terdedah.
"Berani kerana benar, takut kerana salah," tegasnya.
Presiden
Bersatu, Muhyiddin Yassin menyifatkan pembatalan itu bercanggah dengan
Perlembagaan dan pihak polis telah bertindak di luar bidang kuasa yang
sepatutnya.
Ia
katanya, berikutan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, pihak polis
tidak lagi mempunyai kuasa untuk menghalang sesuatu perhimpunan aman di
mana pihak penganjur hanya perlu memberi notis pemakluman beserta
syarat-syarat yang mesti dipatuhi oleh mereka.
Majoriti
pemimpin pembangkang yang lain rata-ratanya ketawa dengan keputusan
pihak polis itu sambil menyifatkan ia hanyalah langkah untuk menyelamat
dan menjaga air muka Najib yang terpalit penuh, bukan terconteng sikit,
dengan skandal kewangan 1MDB dan derma RM2,600 juta yang diterima
melalui akaun peribadinya.
Di
pihak UMNO, selain Nazri sendiri yang terus kecewa dengan tindakan
pihak polis itu, Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani dan
Pengerusi PUNB, Ali Rustam juga berpendirian hampir senada dengannya.
Kata Johari, "kalau tak boleh (dapatkan permit), buat saja di hotel, selesai masalah."
Ali
Rustam berkata, debat antara Tun Mahathir dengan Nazri itu wajar
diteruskan berikutan dunia semakin terbuka dan politik sudah berada di
peringkat matang.
Nazri
yang seperti biasa tidak menyembunyikan kecewanya kerana sudah dua kali
pihak polis membuat pembatalan, selain menyindir majlis debatnya
mungkin hanya boleh diadakan di Auditorium Polis di Cheras atau
Antartika saja, turut mendedahkan bahawa Najib bukanlah dalang di
sebalik tindakan pihak polis itu.
Beliau
berkata, Najib bersetuju dengan debat itu, malah mengucapkan terima
kasih kepadanya kerana mahu berdebat dengan Tun Mahathir.
"Kita berjumpa di Parlimen dua minggu lalu...beliau mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi berdialog.
"Saya rasa ini masalah pihak polis," ujar Nazri lagi.
Kiranya
Nazri tidak bersandiwara dan benar bahawa Najib bersetuju dengan debat
itu dan pembatalan semata-mata disebabkan oleh pihak polis, bermakna ia
bukanlah masalah yang tidak boleh diatasi.
Pihak
polis, sepertimana semua sedia maklum, adalah di bawah bidang kuasa
Menteri Dalam Negeri yang dipegang oleh Zahid Hamidi yang sekaligus
juga merangkap Timbalan Perdana Menteri.
Apakah sebagai menteri, beliau tidak ada kuasa langsung membatalkan penolakan debat oleh polis Shah Alam itu?
Kalau
benar Najib sendiri turut bersetuju, apakah masalahnya Zahid perlu
takut atau ragu-ragu untuk mengarahkan pihak polis memberi kembali
kelulusan kepada Sinar Harian meneruskan acara debat itu?
Jika
di Kuala Kangsar sebelum ini, meskipun Zahid sudah memberi lampu hijau
dan ia kemudian dengan senang-lenang ditukar menjadi lampu merah oleh
pihak polis, apakah di Shah Alam ini Menteri Dalam Negeri begitu lekeh
sehingga tidak mampu menukar kembali lampu merah menjadi lampu hijau?
Ayuh
Zahid....inilah masanya untuk membuktikan kemampuan sebagai pemimpin
yang berwibawa dan berani. Bola kini di kaki anda, siapa lagi selain
Menteri Dalam Negeri yang boleh memberi arahan kepada pihak polis?




Tiada ulasan:
Catat Ulasan