ANTARA POS.COM
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan
pihaknya perlu mengambil kira pelbagai aspek dan bertujuan untuk
mengekalkan ketenteraman awam, ekoran pembatalan debat antara Tun Dr
Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz.
Katanya, tindakan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan
kepada polis mengikut Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967 dan ia digubal
selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Khalid, Seksyen 20 (3) akta sama juga memberikan polis kuasa
budi bicara untuk menjalankan tugas itu demi kepentingan orang ramai.
"Justeru, dakwaan polis menyalahgunakan kuasa kerana melarang cadangan
debat itu adalah tidak munasabah kerana tindakan sama telah memudahkan
banyak perbahasan lain sebelum ini," katanya dalam kenyataan media hari
ini.
Khalid mengulas kritikan sesetengah pihak ke atas polis selepas pihak
berkuasa membatalkan kebenaran kepada Kumpulan Media Karangkraf
menganjurkan perbahasan antara bekas perdana menteri dan menteri
pelancongan dan kebudayaan itu.
Debat berkenaan sepatutnya diadakan di Shah Alam pada Jumaat ini.
Cadangan mempertemukan kedua-dua tokoh lantang berkenaan mula dirancang
selepas Dr Mahathir mencabar bekas menterinya itu berdebat pada 6 Mac
lalu.
Nazri yang ketika itu berada di luar negara segera memberikan
persetujuan tanpa syarat. Beliau kemudian menyatakan debat mengenai
pelbagai isu - termasuk skandal 1MDB dagangan tukaran wang asing dan
Bumiputra Malaysian Finance (BMF) akan diadakan di Maktab Rendah Sains
MARA di Kuala Kangsar.
Tarikh yang dipilih ialah 25 Mac, namun polis tidak mengeluarkan kebenaran untuk majlis berkenaan.
Karangkraf kemudian menawarkan diri menjadi penganjur dan program itu dijadual diadakan di Shah Alam.
Bagaimanapun polis Shah Alam membatalkan kebenaran mereka - yang sehari
sebelum itu dikeluarkan melalui sepucuk surat - selepas mengambil kira
aspek keselamatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan