Oleh Farhain Mazlan
SHAH ALAM: Dialog antara mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad dengan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz
hanya retorik serta tidak memanfaatkan orang ramai, kata penganalisis
politik, Dr Baharuddin Aziz.
"Tiada apa yang kita akan perolehi daripada debat itu kerana ianya
debat tinggal debat sahaja dan ramai tahu tentang latar belakang Tun
Mahathir macam mana.
"Beliau pernah dikenali sebagai 'Mr U-turn' dan juga seorang hipokrit," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
Baharuddin juga tidak terkejut dengan pembatalan dialog di antara tokoh
politik itu kerana berpendapat kedua-duanya tidak mempunyai sebarang
kredibiliti dan 'Locus Standi' untuk berdialog.
"Apa lagi yang nak diperbincangkan oleh Tun Mahathir, beliau sudah
hilang kredibiliti dan yang kedua Datuk Seri Nazri adalah Menteri
Pelancongan dan Kebudayaan, beliau tiada locus standi.
"Dan bukan orang yang sesuai untuk berdebat dengan Tun Mahathir," kata beliau.
Justeru kata Baharuddin, pembatalan oleh pihak polis itu tidak
sepatutnya dijadikan isu kerana apa yang patut diutamakan adalah
personaliti pendebat berkenaan.
"Dari sudut pembatalan oleh pihak polis ianya tidak penting, tetapi apa
yang lebih penting adalah personaliti yang ingin berdebat itu tidak
sesuai.
"Jika mereka ingin berdebat juga, mereka boleh berdebat tentang tajuk
yang sesuai seperti 'Retorik Politik dalam memesongkan orang ramai',"
ujarnya.
Dialog yang sepatutnya berlangsung pada 7 April ini yang melibatkan Dr
Mahathir dan Nazri, dibatalkan oleh pihak polis atas alasan keselamatan,
tambahan pihak polis menerima 18 laporan daripada orang ramai yang
membantah debat tersebut.
Sebelum ini penganjuran debat yang dijadualkan berlaku pada 25 mac di
MRSM Sultan Azlan Shah, Padang Rengas, Perak juga dibatalkan atas
faktor-faktor keselamatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan