Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Hanya Allah SWT yang layak menilai usaha PAS dalam
membawa cadangan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Itu jawapan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin apabila mengulas 'kekaburan'
bersabit pembentangan RUU 355 itu, memandangkan sidang Dewan Rakyat
akan berakhir pada Khamis ini.
"Pada PAS, apa sahaja keputusan atau apa sahaja berlaku, tidak kira
sama ada kita bentang dan diterima, atau kita bentang dan ditolak, atau
tidak boleh bentang langsung, kita tak rugi apa-apa.
"Kita sudah buat kerja kita, setakat kuasa yang kita ada. Ada hujah
kita dengan Allah SWT," katanya kepada Antarapos, selepas merasmikan
Mesyuarat PAS Kawasan Gombak di Taman Melewar, hari ini.
Malah beliau juga yakin usaha PAS itu turut mendapat sokongan pelbagai
pihak, termasuk di kalangan wakil rakyat kerajaan yang beragama Islam.
"Sebelum ini kita sudah minta mereka yang beragama Islam menyokong RUU
ini. Kelmarin saya ada berjumpa seorang ahli parlimen dan berkata ada
orang datang untuk minta beliau sokong, dan katanya beliau sudah sokong
lama. Itu ahli parlimen daripada Barisan Nasional (BN)," ujarnya, namun
tidak menamakan wakil rakyat BN yang dimaksudkan itu.
Rabu lalu, Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk tidak
membentangkan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016
atau RUU 355 di Dewan Rakyat.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang
diterajui Pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak, selaras amalan gagasan
berkenaan dalam membuat sebarang keputusan berdasarkan konsensus bersama
parti komponen.
Sehubungan dengan keputusan itu, RUU 355 kekal menjadi usul
persendirian PAS yang akan dibentangkan Presidennya, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang, pada bila-bila masa sehingga Khamis ini.
Harapan untuk PAS membentangkan RUU 355 juga nampak malap apabila
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada semalam
menyatakan keyakinannya bahawa pengundian usul pindaan itu tidak akan
dibuat pada sesi kali ini.
Hashim, ketika diajukan hal ini bagaimanapun menyerahkan segala
keputusan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Dalam masa yang sama, Hashim juga mengulas gesaan Datuk Husam Musa
supaya Hadi dan pimpinan jawatankuasa PAS meletakkan jawatan dengan
segera atas dakwaan kegagalan membentangkan RUU 355.
"Beliau (Husam) tidak ada hak untuk campur tangan apa yang berlaku dalam PAS.
"Beliau sudah (keluar dari PAS). Dan kami tahu apa yang kami hendak
buat. Muktamar yang akan tentukan," tegasnya menjawab gesaan Husam.
Husam, yang juga bekas naib presiden PAS dan kini menjadi Penasihat
Amanah Kelantan menempelak kegagalan PAS membentangkan RUU 355 yang
selama ini rancak diusahakan.
Gesaan itu juga timbul rentetan perkembangan terbaru membabitkan keputusan kerajaan untuk tidak mengambil alih RUU berkenaan.
RUU 355 pertama kali dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi
Awang di Dewan Rakyat pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.
Ahli Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu
meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda
tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding maksimum
penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang boleh
dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan