Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Kesumat
DAP, PKR, Amanah dan PPBM biarlah masalah terencatnya usaha kerajaan
mahu membentangkan RUU 355 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah menjadi
punca sengketa baru diantara Umno dan PAS.
Mereka berharap PAS akan kecewa dipermainkan oleh Umno yang sebelum ini
mengumumkan akan membentangkan RUU berkenaan tetapi tidak jadi kerana
tidak mendapat sokongan konsensus kerabat Barisan Nasional.
Pada perkiraan Pakatan Harapan (PH) jika berlaku perselisihan faham
diantara PAS dan Umno sudah itu akan melemahkan kedudukan dua parti
penghalang utama bagi PH mahu menawan Putrajaya.
Jika PAS merajuk atau memberikan reaksi negatif hingga menutup sebarang
kemungkinan bekerjasama dengan Umno mendepani Pilihanraya Umum ke-14
(PRU14), sudah tentu parti itu akan berhadapan dengan PH dan juga Umno.
Sudah tentu ini akan menjanjikan cabaran yang mampu diberikan PAS
terhadap PH dan Umno akan ‘kurang bisanya’. Begitu juga Umno. Sudah
pasti ia menjadi semakin lemah jika terpaksa hadapi cabaran PAS dan PH
sekaligus.
Bagaimanapun kesumat PH itu nampaknya masih jauh dari realiti. PAS
tidak gugup atau terlalu kecewa dengan keputusan Umno tidak
membentangkan RUU berkenaan.
Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, keputusan BN itu sudah dijangka
berikutan bantahan komponen parti pemerintah terhadap rang undang-undang
itu amat lantang.
"Sebelum ini memang kita dah beritahu, PAS yang nak bawa tapi tiba-tiba kerajaan cakap nak bawa," katanya.
Bagaimanapun minggu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengisytiharkan kerajaan tidak akan berbuat demikian.
Alasan Umno-BN jelas. Namun yang nyata tidak puas hati dengan
perkembangan itu ialah pemimpin-pemimpin PH kerana perkembangan itu
tidak menunjukkan keretakan nyata dalam hubungan Umno dengan PAS.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin mendakwa, BN tidak pernah
bersungguh-sungguh membawa RUU berkenaan dan kesediaan BN mahu mengambil
alih usul itu hanyalah dibuat atas perkiraan kepentingan politik.
"Sepatutnya cadangan seperti ini mesti dibincangkan terlebih dahulu,
jangan terlalu tergesa-gesa atas kepentingan politik sehingga memalukan
agama Islam itu sendiri.
"Ternyata mereka bukan bersungguh sungguh untuk bawa RUU ini. Mereka
hanya ingin melihat Pakatan Rakyat (PR) dan PH berpecah, dari segi itu,
mungkin mereka telah berjaya," katanya.
Gabungan PR terkubur pada Julai 2015 selepas PAS dan DAP memutuskan
hubungan kerjasama di antara kedua parti berkenaan, akibat pertikaian
berpanjangan termasuk mengenai isu hudud.
Yang pasti ialah, tuduhan Azmin ini agak jauh tersasar. Ini kerana Akta
355 berhubung bidang kuasa Mahkamah Syariah digerakkan oleh kerajaan
sendiri pada 1965. Ia dipinda pada 1984 dan sekali lagi pada 1989.
Sayugia diingatkan bahawa ketika Umno mengusulkan penambah-baikan Akta
355 pada 1984, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara
pemimpin utama Umno yang menggerakkan inisiatif ini dan ia diluluskan
oleh Dewan Rakyat.
Malangnya, sehingga beliau dipecat dari Umno pada 1998, tiada inisiatif
baru yang diambilnya untuk mengukuhkan lagi kedudukan Mahkamah Syariah,
terutama dalam isu qazaf.
Jika peruntukan itu sudah dipautkan kepada Akta 355, sudah pasti Anwar
boleh memanfaatkannya dengan memilih untuk mengenakan perbicaraan yang
membuat tuduhan terhadapnya hingga mengakibatkan beliau dua kali
dipenjarakan.
Parti Amanah nampaknya lebih terkesan dengan sikap terbuka PAS dan Umno
mengharungi konsensus BN tidak mahu kerajaan membawa usul RUU355 ini
dengan tuduhan yang boleh “mencederakan imej” Umno.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad berkata, ia adalah 'petanda'
bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak sudah hilang pengaruh di
dalam gabungan parti-parti kerajaan itu.
"Ini mungkin satu pentanda yang Datuk Seri Najib telah hilang keyakinan
dan pengaruh di dalam BN itu sendiri dan itulah sebabnya strategi yang
telah ditetapkan beliau tidak berjaya,"katanya.
Namun sebaliknya dikalangan kerabat BN keputusan ini melambangkan
kedudukan politik BN semakin utuh kerana prinsip konsensus masih terus
mekar dalam gabungan itu berbanding dengan PH yang masih terkial-kial
mahu “meniru” tatakrama BN.
"Tidak (hilang pengaruh), malah saya ingat beliau dapat lagi banyak
support (sokongan) melalui keputusan ini," kata Naib Presiden MIC, Datuk
T Mohan.
Justeru, kini PAS sendiri akan membentangnya di Parlimen dan perlu
mengikut giliran yang akan ditentukan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri
Pandikar Amin Mulia.
PAS menyifatkan keputusan kerajaan itu tidak memberi kesan terhadap usahanya mahu mencadangkan pindaan RUU 355 itu.
Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan berkata parti itu tidak pernah
'lepas tangan' meskipun kerajaan sebelum ini mengumumkan mahu mengambil
alih membentangkan pindaan berkenaan.
Namun yang paling jelas ialah episod RUU355 ini telahpun mendedahkan
tembelang ahli-ahli Dewan Rakyat muslim dari PKR, DAP, Amanah dan
seorang dari PPBM berhubung komitmen mereka terhadap Islam.
Inisiatif dasar pindaan Akta 355 ialah untuk melaksanakan perintah
Allah bagi memelihara perlakuan moral Islam. Malangnya, ini
diputarbalikkan oleh mereka yang jauh dari semangat agama dengan
pelbagai alasan teknikal dan remeh temeh.
Perihal Akta355 dan butir-butir pindaan yang dicadangkan langsung tidak
membabitkan nilai kehidupan rakyat bukan Islam yang minum arak, berzina
dan sebagainya tidak pernah diambilkira oleh pihak yang berpolitik
menggunakan topeng Islam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan