ULASAN Solat tarawih 20 ataupun lapan rakaat adalah persoalan khilaf dalam kalangan sarjana Islam. Sikap yang sederhana tidak akan menyatakan mana-mana pihak tertolak solatnya hanya kerana lapan ataupun 20.
Istilah tarawih itu sendiri hanya digunakan selepas zaman Nabi SAW. Dalam hadis digunakan “qiyam Ramadan”.
Para ulama salaf solih sendiri berbeza pendapat tentang bilangan rakaat bagi solat tarawih bersama witir.
Antaranya, pendapat yang menyatakan 41, 39, 29, 23, 13 dan 11. Adapun dari segi riwayat, Ummul Mukminin Aishah RA ditanya mengenai solat Rasulullah SAW pada bulan Ramadan, jawab beliau:
“Rasulullah SAWtidak pernah melebihi sebelas rakaat sama ada dalam bulan Ramadan ataupun selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Apapun, bab ini khilaf dalam kalangan ulama. Berdasarkan riwayat yang sahih dalam al-Muwata karya al-Imam Malik bin Anas, bilangan rakaat yang Saidina Umar perintah dilaksanakan adalah sebelas rakaat.
Kata al-Saib bin Yazid: “Umar telah memerintahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam kepada orang ramai sebanyak sebelas rakaat” (Riwayat Malik).
Maka dengan itu riwayat al-Baihaqi melalui Yazid bin Khasifah daripada al-Saib bin Yazid yang menyebut bilangan yang Umar perintahkan sebanyak 20 rakaat adalah bercanggah dengan riwayat sebelas rakaat yang sahih tadi.
Sedangkan dari segi kekuatan riwayat, riwayat sebelas rakaat itu lebih kuat, maka sesetengah ulama menganggap riwayat 20 sebagai shaz (ganjil) kerana menyanggahi rawi yang lebih kuat.
Justeru, riwayat 20 dihukum daif oleh sesetengah ahli hadis.
Walau bagaimana pun, sebahagian ulama pula menerima riwayat Yazid bin Khasifah dan mentakwilkan bahawa ada hari Umar memerintahkan 11 rakaat dan ada hari pula yang diperintahkan 20.
Maka kedua-dua itu diterima. Apapun, hadis al-Imam Malik tadi yang menyebut 11 rakaat telah menafikan dakwaan yang menyatakan sesiapa yang solat tarawih berserta witir sebelas rakaat tidak sah.
Itu adalah dakwaan yang agak berlebihan.
Kita tidak patut berbalah soal lapan ataupun 20 rakaat itu. Orang yang solat tarawih lapan rakaat bukan semestinya dia berpegang dengan fahaman tertentu, tetapi mungkin juga kerana dia sibuk, keletihan dan seumpamanya.
Janganlah kita menolak pahala solat tarawih orang lain atas sikap fanatik dan ekstrim kita.
Di Perlis, secara rasmi solat tarawih lapan rakaat dan tiga witir. Pun begitu tidak pernah kita menyatakan salahnya solat tarawih 20 rakaat itu.
Menjaga adab solat
Bahkan Lajnah Tetap dan Kajian Ilmiah serta Fatwa, Arab Saudi sendiri ketika mengulas hal menyebut:
“Tiada menjadi salah untuk menambah lebih dari sebelas kerana Nabi SAW tidak pernah mengehadkannya sedikit pun. Bahkan apabila ditanya tentang solat malam baginda menyebut: Dua rakaat, dua rakaat (secara dua rakaat setiap solat), jika seseorang kamu bimbang masuk waktu subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir kepada apa yang telah dia solat sebelum.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis ini baginda tidak menghadkan sebelas atau selainnya. Ini menunjukkan ada keluasan dalam solat malam pada bulan Ramadan atau selainnya”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/195, Riyadh: Riasah Idarah al-Buhuth).
Ramadan bulan ibadah bukan bulan berbalah. Setiap orang beramal beralasan dalil yang dia yakini benar ataupun dengan kadar kemampuannya.
Sesiapa solat lapan rakaat maka itu adalah pilihannya dengan alasan ataupun kemampuannya. Sesiapa yang ingin melakukan 20 rakaat ataupun lebih maka itu juga pilihannya dan ada alasannya.
Setiap kita cuba yang terbaik di sisi Allah iaitu yang dia yakin paling mengikuti sunah Nabi SAW. Menjaga adab solat dengan sempurna adalah merupakan sunah yang utama.
DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN merupakan mufti Perlis. Artikel ini disiarkan kali pertama di Facebook beliau dengan tajuk asal “Tarawih: Pilihlah sikap yang sederhana”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan