HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Mei 2017

Semangat kebangsaan kini dianggap rasis, kata Dr Mahathir

Berita Daily Staff

Masyarakat Melayu zaman ini sudah berubah dan tidak lagi mempunyai rasa sayang kepada bangsa dan negara

KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Dr Mahathir Mohamad melahirkan kesedihan melihat semangat kebangsaan masyarakat Melayu semakin pudar hari ini.

Beliau berkata, masyarakat Melayu zaman ini sudah berubah dan tidak lagi mempunyai rasa sayang kepada bangsa dan negara.

“Hari ini orang Melayu sudah banyak berubah. Bagi ramai dari kita, sudah tidak ada lagi kesayangan kepada bangsa dan negara. Semangat kebangsaan dicemuh sebagai perkauman – rasis. Kita malu jika bersemangat Melayu.

“Sekarang ini ramai yang tidak boleh menerima bahawa seseorang boleh sayang kepada bangsa dan negara sehingga sanggup korban keselesaan hidup diri sendiri,” katanya, memetik laman blog, www.chedet.cc.

Mantan perdana menteri itu berkata, beliau juga amat sedih akan kehilangan semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu, tanpa mengira usia yang lebih gemarkan duit dan pangkat.

“Jika tidak diupah dengan duit, pangkat atau jawatan, kontrak atau sebagainya biarlah negara hancur, tidak ada apa-apa yang sanggup dibuat untuk menyelamatnya. Jauh sekali dari menghadapi sedikit risiko.

“Apabila budaya ini mengganti semangat kebangsaan alamatnya ialah bangsa ini akan gagal dan akan hilang dari muka bumi ini,” kata Dr Mahathir.

Perkara itu katanya berbeza seperti zaman ketika beliau membesar semasa zaman perjuangan melawan Malayan Union dan membebas negara dari penjajahan British.

“Diwaktu itu semangat kebangsaan sahaja yang mendorong saya dan kawan-kawan bergerak dan berkorban duit sendiri yang sedikit bagi menjayakan perjuangan. Tidak ada harapan untuk mendapat apa-apa balasan selain dari tebusan maruah bangsa,” katanya.

“Dalam sejarah manusia banyak sudah bangsa-bangsa yang sudah tidak ada lagi. Ada yang hanya tercatit dalam buku sejarah. Ada yang hilang sama sekali.

“Apakah buku sejarah di zaman akan datang akan tertulis didalamnya, ‘maka di zaman dahulu terdapat satu bangsa yang dikenali sebagai Melayu, yang sudah pun hilang, kerana semangat bangsa luput diganti dengan ketamakan nafsu’.”

Tiada ulasan: