HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Mei 2017

'Tindakan JMPP tak wakili semua umat Islam'

MALAYSIAKINI


Tindakan Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) yang menghalang Ketua Menterinya Lim Guan Eng menghadiri majlis berbuka puasa tidak mewakili umat Islam di negara ini.

Malah, Anggota Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata, tiada sebarang sumber rujukan Islam yang menyokong tindakan NGO berkenaan untuk menghalang Lim daripada hadir ke majlis buka puasa.

"Secara jelas tindakan ini satu tindakan ketaksuban. (Pengerusi JMPP, Mohamed) Hafiz Nordin adalah individu yang berada dalam keadaan delusi, selalu membuat masalah dan saya ragu-ragu pemahamannya terhadap Islam.

"Orang Islam sepatutnya tidak mencapai tahap kebodohan seperti mereka (JMPP)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanipa berkata demikian sebagai mengulas tindakan JMPP Jumaat lalu yang meminta agar Lim dilarang hadir majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan.

Hafiz berkata sekiranya Lim ingin turut serta dalam majlis berbuka puasa, beliau perlu memeluk agama Islam.

Sehubungan itu, Hanipa yang juga ketua biro undang-undang Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, pihaknya tidak akan sesekali membuat tindakan seperti JMPP dan akan terus menjemput orang bukan Islam ke majlis berkaitan agama.

"Kami (AMANAH) akan terus menjemput saudara bukan Islam ke majlis buka puasa atau apa-apa majlis.

"Kita mahu saudara bukan Islam kita terdedah dengan Islam dan mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang agama ini," katanya lagi.


Tiada ulasan: