HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Mei 2017

Pertanyaan di musim penampar


ULASAN l Sekarang ini memang musim serba tidak menentu. Di Perlis sana khabarnya musim harumanis sudah tidak macam selalu. Musim hujan dan panasnya dikhabarkan semacam saling merajuk.

Kata seorang anak muda di Kampung Balik Bukit di Chuping, biasanya pada bulan dua cuaca dah panas.

Tapi tahun ini ada kawasan masih hujan menyebabkan bunga susah melekat pada dahan. Kata dialah.

Akibatnya pengeluaran di kawasan tertentu berkurangan. Merosot produktiviti bermakna merosot jugalah pendapatan.

Durian pun setakat ini keluarnya nampaknya macam malu-malu. Selain di Chow Kit dan beberapa lokasi lain, susah juga membeli durian pada harga yang berpatutan.

Itulah, sekarang musim serba tak menentu. Kadang-kadang baik dan ramah, tapi silap gaya atau langkah kita mungkin 'makan' penampar juga. Ya sekarang nampak macam musim tempeleng, jerkah atau 'makan kon'.

Satu lagi insiden tidak menentu ialah suasana politik negara. Ketepikan logika jika anda memilih untuk mendekati atau memahami sifir siasah yang berlaku di sekitar kita.

Kadang-kadang bacaan orang awam jarang silap tetapi takrif "benar" itu kemudian dipaksakan maknanya kepada kita oleh ahli politik. Aneh? Memanglah. Ketika amalan politik dan pemilihan wakil rakyat sepatutnya dimaknakan dengan kuasa daripada rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat, siasah negara ini berwajah lain.

Menjelang PRU14

Rakyat hanya menjadi "benar" beberapa hari menjelang hari mengundi. Baki lebih kurang 300 hari yang lain ialah waktu untuk orang biasa atau bawahan mesti mengikut kehendak ahli politik yang mereka pilih pada hari mengundi.

Ia adalah waktu ahli politik dan menteri tahu segala-galanya dan rakyat wajib dikurung di dalam tempurung.

Misalkan tamatnya tahaluf siyasi antara PAS dan PKR. Di mata kebanyakan orang, politik matang ialah politik yang menjaga nama baik dan maruah.

Biarlah kehilangan pangkat, jawatan atau kerusi empuk di dewan undangan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLS). Apa yang lebih penting ialah harga diri.

Sejak kecil, di sekolah, di universiti dan seumpamanya kita diajar bahawa harga diri itu sesuatu yang amat penting.

Namun di sini, seseorang ahli politik yang dipilih melalui kertas undi atau lantikan langsung boleh berbuat sesuka hati atas nama "rakyat" yang serba jahil selama kira-kira 300 hari itu.

Jika ada yang bertanya atau mempertikaikan mereka, jalan keluar biasanya banyak. Gunalah nama sesiapa pun yang dirasakan sesuai. Seeloknya pihak yang tidak boleh ditanya secara langsung.

Seseorang berstatus yang tinggi, seperti tuan guru atau ulama misalnya. Kata dan fikir ulama biasanya kita fahami mempunyai pertalian langsung dengan langit. Orang lain mana ada yang begitu.

Terbatalnya kerjasama politik

Maka selepas kerjasama politik yang disakralkan dengan menggunakan istilah Arab itu berakhir, ahli politik tertentu boleh saja terus berkelakuan seolah-olah tidak ada apa yang berlaku pun.

Rakyat? Biarlah, sebab segala-gala yang ada di dunia ini hanya diketahui oleh ahli politik.

Misalkan juga sebahagian anggota PKR yang gerun benar kepada PAS. Kewujudan Parti Amanah Negara (AMANAH) pula dianggap tidak lebih daripada pengacau.

Maka disusukanlah pemimpin dan penyokong PAS yang berada di luar rumah atau kaki tangga itu, manakala yang lain diabaikan walaupun merekalah yang kadang-kadang menanak nasi di dapur.

Tiba-tiba orang yang disusukan itulah yang akan menyusahkan pada pilihan raya umum (PRU) nanti.

Sekurang-kurangnya itulah yang sudah dinyatakan oleh PAS.

Pada PRU ke-14 nanti PAS mengumumkan akan bertanding di sembilan daripada 13 kerusi di Wilayah Persekutuan. Kerusi manakah yang akan dibiarkan oleh PAS? Barangkali Kepong dan Seputeh. Selebihnya akan menyaksikan calon parti itu diturunkan.

Siapakah anggota Parlimen PKR yang akan berdepan dengan PAS itu? Antaranya ialah tiga naib presiden parti berkenaan, iaitu Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli dan Tian Chua.

Sekurang-kurangnya seorang daripada mereka dilaporkan begitu lunak kepada PAS sebelum ini.

Masalahnya di kerusi itu AMANAH tidak pernah bercakap pun mahu meletakkan calon.

Operasi SAR PKR

Keadaan itu - kata sumber dalaman - memaksa 'politburo' PKR merangka operasi 'mencari dan menyelamat' untuk pemimpin atasan parti berkenaan.

Kewujudan 'warlord' tertentu dalam parti pula menyaksikan wujud persaingan antara kelompok "orang si fulan" dengan "bukan orang si fulan" yang berpanjangan.

Ketika berpindah kerusi boleh dianggap sebagai pengecut atau mencemar nama - seperti dinyatakan di atas - siasah kita hanya dapat difahami dengan mudah apabila kita mengetepikan logika.

Justeru, pada PRU ke-14 nanti, mungkin kita dapat melihat calon-calon baru dan mengejutkan di kerusi Lembah Pantai, Batu, Bandar Tun Razak dan Setiawangsa. Nurul Izzah pula tidak mustahil balik kampung ke Permatang Pauh.

Itu belum lagi mengambil kira kerusi selamat PKR di Selangor dan negeri-negeri lain. Pandan misalnya, tentu agak menggiurkan jika melihat kepada jumlah majoriti dimenangi Rafizi Ramli pada PRU ke-13 lalu.

Ia menjadi lebih mengghairahkan jika diambil kira nasib naib presiden PKR itu yang semakin hampir ke jeriji besi atas sabitan kes mahkamahnya.

Percaturan PAS

Mengikut kenyataan PAS, itu adalah kerusi yang tidak terkecuali daripada idaman mereka.

Percaturan belum lagi mengambil kira kemasukan calon BN. Kecualilah BN terbuka hati untuk membiarkan PAS saja mencabar parti lain di situ berkat doa dan ceramah pimpinan PAS.

Barangkali sebelum ini PKR kekal lunak walaupun selepas PAS mengecam mereka dengan pelbagai kata dan gelaran dengan harapan laluan mereka di kerusi yang dimenangi akan menjadi lebih mudah melalui permuafakatan bersama.

Andaian itu - walaupun mungkin boleh menjadi benar - tetaplah membosankan kerana ternyata apa yang lebih difikirkan oleh wakil rakyat itu ialah meneruskan kewujudan mereka sebagai wakil rakyat saja.

Seolah-olah hanya dia itu sajalah yang boleh menjadi suara rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Dalam keadaan begitu kita sebenarnya boleh bertanya - dengan memetik sajak Pertemuan Mahasiswa oleh WS Renda:

Ya ! Ada yang jaya, ada yang terhina
Ada yang bersenjata, ada yang terluka
Ada yang duduk, ada yang diduduki
Ada yang berlimpah, ada yang terkuras
Dan kita di sini bertanya:
“Maksud baik saudara untuk siapa ?
Saudara berdiri di pihak yang mana ?

Tapi itulah, rasa ingin tahu kadang-kadang boleh membunuh. Dan pada musim serba tidak menentu ini, pertanyaan mungkin akan dijawab dengan tamparan.

Jika ditakdirkan jawapan yang diberi itu dalam bentuk kata-kata celupar pemimpin politik yang semakin lazim sekarang pun, bolehlah dianggap bernasib baik.

Kita rakyat tetaplah dikehendaki menjadi tukang angguk kepada ahli politik. Kecuali kita mengajar diri sendiri tentang makna bangkit, dan memberitahu mereka erti suara keramat.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tiada ulasan: