HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Mei 2017

Geely mampu suntik manfaat untuk Proton - Penganalisis

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) diharap mampu menyuntik manfaat terbesar buat Proton selepas kerjasama syarikat pengeluar kereta nasional itu bersama Lotus Group International Ltd. (LGIL) tidak membuahkan hasil.
 
Sehubungan itu pakar ekonomi, Prof Madya Dr Barjoyai Bardai meminta orang ramai tidak membuat spekulasi negatif terhadap pemilikan saham Geely sebanyak 49.9 peratus sebagaimana yang diumumkan baru-baru ini.
 
Barjoyai juga yakin, pemilikan baru itu sebagai langkah menyelamatkan Proton itu daripada muflis, sejak ia mengalami penurunan dari segi permintaan.
 
"Kita membeli Lotus dahulu dengan harapan kita menggunakan teknologi yang ada untuk Proton. Namun kesilapannya adalah Lotus merupakan pengeluar kereta sport, sedangkan Proton bukan pengeluar kereta sedemikian meskipun kita cuba keluarkan Putra dan Satria. Ia mendapat sambutan namun harganya tidak dapat dipertahankan kerana rakyat Malaysia mengharapkan kereta 'sport' keluaran Proton sama seperti kereta 'salun'.
 
"Sejak memiliki Lotus kita tidak dapat memanfaatkan Lotus sepenuhnya untuk membina dan membangunkan Proton. Penjualan Lotus oleh Proton adalah tekad untuk mengatakan mereka tidak berminat mengeluarkan kereta 'sport'," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Lebih lanjut, menurut Barjoyai, Lotus telah mengalami kerugian berterusan selama enam tahun, apatah lagi dengan kekangan teknologi pembuatan kereta.
 
"Tidak ada apa-apa yang dibimbangkan kerana urusniaga ini (Proton-Geely) disifatkan sebagai 'calculated risk' yang boleh dirasionalisasikan dan tidak melibatkan kehilangan kereta nasional kita. Cuma kita berharap Geely sebagai rakan kongsi yang jujur dan bukan masuk sebagai rakan kongsi Proton bukan kerana berkehendakkan Lotus," tegasnya lagi.
 
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pemilikan kepentingan sebanyak 49.9 peratus oleh Geely terhadap Proton, sebagai usaha menyelamatkan syarikat pengeluar kereta nasional itu daripada muflis.
 
Tidak mahu Proton menerima nasib sama seperti Perwaja, menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kerugian berterusan dialami syarikat tersebut di samping pinjaman daripada kerajaan memaksakan langkah itu diambil, ditambah lagi dengan permintaan kereta yang tidak mampan.
 
"Jika ia tidak dilakukan Proton akan terus merosot kerana pada hari ini Proton hanya mengeluarkan 140,000 kereta setahun, sedangkan ia mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan 400,000 kereta setahun. Apabila kapasiti ini tidak digunakan, belanja 'overhead' akan terus dilibatkan, namun hasil jualan tak mampu menampung belanja 'overhead'," kata Barjoyai.
 
Tambah Barjoyai lagi, kepakaran Geely dalam 'meniru' reka cipta kereta-kereta dari jenama mewah dan ternama yang lain mampu memberi manfaat terhadap Proton dalam jangka masa yang panjang.
 
Perkara yang sama juga dilakukan oleh negara pengeluar kereta yang lain apabila berdepan dengan situasi genting sedemikian, ujar beliau. 
 
"Geely merupakan rakan kongsi strategik kerana ia merupakan sebuah pengeluar kereta ternama, mereka juga memiliki Volvo dari Sweden. Geely boleh membawa jenama-jenamanya dari China ke Malaysia. Geely boleh mengeluarkan kereta yang rupa dan tarafnya serupa Roll Royce. 
 
"Jadi langkah paling besar yang perlu diambil adalah menggunakan kapasiti yang ada di dalam Proton, iaitu 250,000 untuk digunakan Geely untuk mengeluarkan kereta di Malaysia kemudian dieksport ke negara asing," ujarnya lagi

Tiada ulasan: