SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
menasihatkan pimpinan dan ahli parti itu tidak mempolitikkan majlis
berbuka puasa dengan tujuan tertentu.
Respon itu menyusul selepas Yang Dipertua PAS Gombak, Salehhuddin Nasir
mengecam tindakan pemimpin DAP yang menyertai majlis berbuka puasa
bersama kaum Islam.
“Aktiviti berbuka puasa tidak perlu dipolitikkan mahupun digunakan
untuk tujuan politik. Sebaiknya aktiviti digunakan sebagai medan
merapatkan hubungan antara kaum dan meningkatkan pemahaman antara
agama,” demikian reaksi Tuan Ibrahim sebagaimana memetik laporan Free
Malaysia Today (FMT), hari ini.
Salehhuddin, menerusi posting di laman Facebooknya hari ini meluahkan
rasa 'meluat dan menyampah' dengan kehadiran pemimpin DAP di
majlis-majlis berbuka puasa, dengan menyelitkan kata lucah selain
menyifatkan parti itu sebagai musuh Islam.
Malah kecaman tersebut juga ditujukan terhadap PKR dan Amanah yang didakwanya sebagai 'macai' DAP.
Tidak menyebut nama sesiapa, namun kenyataan Salehhuddin itu dipercayai
merujuk kepada kehadiran dua pemimpin DAP iaitu Lim Kit Siang dan Lim
Guan Eng yang sering hadir memeriahkan majlis berbuka puasa setiap kali
Ramadhan.
Tuan Ibrahim dalam responnya juga menggesa pimpinan dan ahli PAS sentiasa menjaga kata-kata dalam mengeluarkan kenyataan.
“Disiplin tulisan perlu dijaga sentiasa.
“Tulisan mestilah selaras dengan pendekatan budaya politik matang dan
sejahtera yang menjadi dasar parti. Tulisan yang tidak menepati dasar
ini sudah tentunya bukan pendirian parti dan hanyalah pandangan
peribadi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan