shahbudindotcom
Bukan
merupakan kebiasaan bagi pimpinan utama Pas menegur pemimpin bawahan
mereka yang didapati mengeluarkan ucapan dan kata-kata yang melampau
atau menyinggung pihak lawan.
Selalunya, perbuatan itu didiamkan begitu saja.
Tetapi,
Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini memangku jawatan Presiden Pas berikutan
Hadi Awang sedang menerima rawatan pemulihan kerana pembedahan injap
jantung, telah melakukan sebaliknya dan bertindak terpuji susulan
tulisan YDP Pas Gombak, Salehuddin Nasir yang dilihat tidak wajar
sama-sekali berkaitan majlis berbuka puasa melibatkan pemimpin DAP.
Pemimpin
Pas kawasan itu bukan saja menulis secara tidak wajar, melulu dan
emosi, malah juga melakukan fitnah dengan mengaitkan DAP dengan pesta
arak dan majlis onani yang sebenarnya bukan anjuran parti itu.
Membaca
tulisannya itu pasti ramai yang geleng kepala kerana imej beliau
sebagai pemimpin Islam yang selalu tampil berkopiah dan nampak sopan,
sedangkan budak-budak rock atau orang biasa yang pakai topi pun tidak
menulis seburuk itu bahasa dan tuduhannya kepada pihak lain.
Ketika
pemimpin-pemimpin Pas lain masih berdiam diri dan "berat mulut" untuk
menegur, Tuan Ibrahim dengan berani tampil menegur serta menasihati
pimpinan bawahan atau sesiapa dalam parti itu agar menjaga tulisan
mereka.
Malah,
beliau juga menjarakkan diri dengan mengatakan tulisan sebegitu rupa
tidak menepati dasar parti atau mewakili pendirian parti.
Jika
diselak sejarah yang tidak terlalu lama, tindakan pemimpin Pas
peringkat bawahan yang bertindak keterlaluan, emosi dan tidak menjaga
adab, bukanlah sesuatu yang asing sebenarnya.
Sebelum
ini, ada di antara mereka yang mengatakan Dr. Wan Azizah Wan Ismail,
jika tidak menyokong usul Akta 355, kiranya meninggal dunia nanti,
sudah layak dikebumi di jirat Cina.
Minggu
lalu, seorang bekas pemimpin Pas yang mengetuai sebuah NGO telah
mengadakan demonstrasi melarang Ketua Menteri Pulau Pinang menghadiri
majlis berbuka puasa, kecuali jika memeluk Islam terlebih dahulu.
Dalam demonstrasi yang sama juga telah berlaku kejadian tampar yang melibatkan seorang pegawai kepada Lim Guan Eng.
Namun,
jika diselak sejarah bertahun-tahun sejak kewujudan Pas, tindakan
keterlaluan, tidak wajad dan emosi bukanlah sesuatu yang asing
sebenarnya.
Melabel, menuduh dan memfatwa dengan hukum sembrono terhadap pihak yang dimusuhinya, boleh dikatakan sudah menjadi amalan biasa.
Carilah akhbar lama, kaset atau cakera padat ucapan pemimpin-pemimpin mereka, pasti ditemui "macam-macam ada" di situ.
Sebagaimana biasa, perbuatan itu tidak pernah ditegur dan hanya dibiarkan saja. Tidak kedengaran perbuatan itu pernah ditegur.
Namun,
permulaan memberi teguran dan peringatan sebagaimana yang dilakukan
oleh Tuan Ibrahim ini, bukan saja wajar, malah terpuji sekali, meskipun
pemimpin Pas yang lain nampaknya masih kekal suka mendiamkan diri.
Tuan
Ibrahim, selain satu-satunya yang masih mahu bercakap tentang skandal
dan penyelewengan 1MDB, juga adalah pemimpin Pas yang nampkanya kekal
terserlah hati dan jiwa yang suci.
Mulai
sekarang, beliau mesti terus konsisten menegur dan membetulkan apa-apa
yang tidak sihat, tetapi berleluasa dalam parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan