HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Mei 2017

Kamarul perhebat serangan ke atas DAP

THE MALAYSIAN INSIHGT
Kamarul perhebat serangan ke atas DAP
Kamarul perhebatkan serangan ke atas DAP selepas mendakwa buku Hannah Yeoh mempunyai agenda Kristianisasi.– Gambar fail The Malaysian Insight

MENGGUNAKAN fakta pincang dan hujah retorik, pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Yusuf memperhebatkan serangannya kepada DAP dengan mengaitkan kepercayaan peribadi dengan agenda parti.

Serupa dengan dakwaan Umno yang DAP sedang berusaha “mengkristianisasikan” negara ini, Kamarul menggunakan contoh yang salah untuk mengaitkan parti itu dengan “agenda Kristianisasi”.

Dia menggunakan contoh seperti kepercayaan agama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Yang diPertua Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh dan wakil rakyat Serdang untuk menyokong hujahnya yang DAP mempunyai agenda tersembunyi.

“Sebagai seorang pembaca tegar, saya berpeluang membaca pengakuan sensasi Lim Guan Eng mengenai bagaimana beliau memeluk agama Kristian sewaktu berada di dalam Penjara Kajang pada 1998. Pengakuan Lim Guan Eng ini terdapat di dalam wawancara bertajuk “Lim Guan Eng: The Prison to Parliament Leader” di dalam buku “Heart to Heart with Asian Leaders: Exclusive Interviews on Crisis, Comebacks & Character”,” tulis Kamarul di akaun Facebooknya. Catatan ini dimuatnaik laman sesawang PAS, harakahdaily.net hari ini.

“Lebih menarik lagi, Lim Guan Eng turut menyebut nama dua pemimpin DAP yang beliau jadikan tempat pergantungan, iaitu Tony Pua Kiam Wee, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, dan Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP,” tambahnya.

Walaupun begitu, pemeriksaan mendapati Loke dan Pua, kedua-duanya tidak beragama Kristian.
Ahli akademik kontroversi itu kemudiannya berkata yang Lim Kit Siang juga mengatakan yang tiada agenda Kristian dalam DAP atau wakil rakyatnya.

“Bagaimanapun, sehingga kini beliau atau mana-mana pemimpin DAP belum mampu menafikan tiga pengakuan Hannah Yeoh ini, iaitu bahawa beliau menggunakan jawatan politik beliau untuk berdiayah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda; bahawa penganut Kristian perlu membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia; serta bahawa beliau bercita-cita untuk membawa kepercayaan dan perkhidmatan Kristian kepada dunia awam.

”Ini adalah contoh agenda Kristian seorang Ahli Dewan Undangan Negeri DAP, iaitu Hannah Yeoh,” dakwanya.

Selain itu kepincangan hujah yang digunakan ahli akademik itu diterbitkan dalam catatan bertarikh 4 Febuari 2014 mengenai wakil rakyat Serdang Ong Kian Ming di Facebook yang mengatakan dia pergi ke gereja di SIBKL dan mengatakan “Di gereja saya di SIBKL, kami berdoa semoga satu kebangkitan semula Kristian berlaku di dalam negara kita.”

Bagaimanapun, pemeriksaan di akaun Facebook Ong menunjukkan yang catatan itu adalan penerbitan semula catatan Idris Jala tentang perjanjian 10 perkara dengan Perdana Menteri Najib Razak sebelum pilihan raya negeri Sarawak tahun 2011 dan bukannya pengalaman peribadi Ong di SIBKL.

“Bagaimana mungkin Dr Ong Kian Ming boleh memperjuangkan agenda sekular bila Penyelidik Parlimen beliau sendiri menyifatkan beliau bukan sekularis?” kata Kamarul.

Pensyarah UUM itu turut mempersoalkan bagaimana Kit Siang memisahkan agenda Kristian dengan DAP apabila autobiografi Yeoh (Hannah), “Becoming Hannah” dilancarkan Guan Eng pada 10 Januari 2015.

“Bagaimana mungkin Lim Kit Siang boleh mengatakan bahawa, sebab beliau bukan seorang Kristian, agenda Kristianisasi tidak terdapat di dalam DAP atau di kalangan mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri DAP sedangkan yang benar-benar berkuasa di dalam DAP adalah Lim Guan Eng yang beragama Kristian?” tanyanya beretorik.

Kamarul mula menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini apabila dia menggunakan autobiografi Hannah Yeoh untuk menyerang DAP. Dia turut membuat laporan polis mendakwa Hannah menggunakan bukunya untuk menyebarkan agama Krisitan kepada orang Islam.

“Kesemua cerita ini boleh mendorong pembacanya, termasuk saya, merasa kagum dengan kehebatan Tuhan Hannah Yeoh,” kata Kamarul.

Tiada ulasan: