KUALA LUMPUR: PAS hari ini membuat laporan polis terhadap laporan muka
depan The Star, sehari selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN)
mengeluarkan surat tunjuk sebab dan akhbar berkenaan sudah membuat
permohonan maaf.
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad mempersoal had tindakan
KDN terhadap surat khabar berbahasa Inggeris berkenaan sambil
menyifatkan surat tersebut tidak lebih sekadar 'cubitan'.
Katanya KDN harus mengambil tindakan lebih tegas kerana laporan muka
depan The Star pada Sabtu lalu menyinggung masyarakat Islam.
"Saya ingat KDN akan terus gantung The Star. Tindakan itu macam mencubit saja.
"Kalau surat tunjuk sebab tak memadai kerana ini bukan tentang
menyalahkan atau menghina umat Islam sahaja tapi ia melibatkan
keharmonian dalam masyarakat.
"Justeru kita desak tindakan sekeras-kerasnya dikenakan terhadap The
Star," katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis
Ampang hari ini.
Iskandar berkata laporan polis itu dibuat supaya perkara yang sama
tidak lagi berulang, selain menjaga keharmonian masyarakat berbilang
agama dan kaum di negara ini.
Menerusi paparan muka depan The Star bertarikh 25 Mei lalu, surat
khabar itu meletakkan gambar orang Islam sedang bersembahyang terawih
sempena Ramadhan, dan dalam masa yang sama menyiarkan tajuk berita
bertajuk 'Malaysian Terrorist Leader'.
The Star pada kelmarin sudah membuat permohonan maaf, manakala KDN pada
semalam memberi tempoh seminggu untuk surat khabar itu mengemukakan
sebab mengapa ia tidak boleh dikenakan tindakan.
Kegagalan ia berbuat demikian menyebabkan The Star bakal digantung
permit penerbitan selain tindakan-tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan (AMCP) 1984.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan