HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Mei 2017

Rafizi akui kesilapan fakta, mohon maaf kepada Florence Goh

MALAYSIA DATELINE

Rafizi Ramli Rafizi Ramli
Rafizi Ramli hari ini mengakui beliau tersilap selepas seorang wanita menafikan dirinya pengarah sebuah syarikat yang dikaitkan dengan seorang pelobi Washington bagi pihak kerajaan Malaysia.

Naib presiden PKR itu memohon maaf kepada wanita bernama Florence Goh yang memiliki sebuah syarikat bernama CRT Insights Technologies Sdn Bhd, yang tampil menafikan beliau ada kena mengena dengan Godfrey Group Ltd.

Godfrey Group merupakan syarikat yang didakwa membayar seorang pelobi pentadbiran Donald Trump sebanyak AS$250,000 (RM1.07 juta), seperti terkandung dalam borang difailkan dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kesilapan ini dan memohon maaf kepada (Florence) Goh Siew Boey dan CRT Insights Technologies Sdn Bhd kerana telah menyiarkan nama mereka.

“Saya ada meminta supaya mereka tampil ke hadapan dan memberikan penerangan, maka saya hargai penjelasan yang mereka berikan bahawa mereka tidak terbabit dan saya tidak teragak-agak memohon maaf kerana mereka tidak terlibat di dalam kes ini,” kata Rafizi dalam kenyataannya, beberapa jam selepas Goh mengadakan sidang media bersama Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Rafizi bagaimanapun tetap berkata satu lagi wanita bernama Florence Goh, dengan nama Cina Goh Swee Gaik, yang menurutnya ada kaitan dengan sebuah NGO di Johor Bahru, perlu tampil membuat penjelasan.

Rafizi pada Sabtu berkata seorang wanita bernama Florence Goh merupakan pengarah Godfrey, dan mempunyai pertalian dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Ahmad dan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad.

Bagaimanapun, dokumen SSM yang ditunjukkan Rafizi ketika itu menunjukkan alamat syarikat CRT Insights didaftarkan 42, Jalan Molek 2/1.

“Perbezaan alamat hanyalah satu nombor iaitu ‘/1’ berbanding ‘/3’ dan itu menyebabkan kekeliruan, apatah lagi dalam keadaan kami menjejaki seorang individu yang menggunakan syarikat BVI untuk kontrak ini,” kata Rafizi dalam permohonan maafnya. BVI merujuk British Virgin Island, yang kerap digunakan syarikat kosong untuk menjalankan aktiviti perniagaan mencurigakan.

Dalam satu sidang media khas Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong pagi ini, wanita tersebut Florence Goh berkata tuduhan Rafizi mengancam keluarga dan perniagaannya

“Saya bukan individu itu dan saya tidak ada kaitan dengan mana-mana parti politik. Saya hanya seorang ahli perniagaan,” kata Florence Goh yang memperkenalkan dirinya sebagai pemilik CRT Insights Technologies Sdn Bhd.
“Saya berharap pihak berkuasa akan membantu saya kerana saya tidak bersalah,” katanya.

Menurut Wee Ka Siong, Rafizi dalam kenyataannya menggunakan nama Cina wanita itu, Goh Siew Boey, syarikat miliknya bersama butiran pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bagaimanapun, menurut dokumen SSM yang ditunjukkan Rafizi, alamat syarikat CRT Insights didaftarkan Jalan Molek 2/1.

“Rafizi perlu periksa fakta sebelum membuat tuduhan melulu,” kata beliau.

Wee menunjukkan dokumen SSM yang menunjukkan nama Florence Goh tetapi dengan nama Cina lain.

“Sebagai ahli Parlimen, beliau boleh mendedahkan apa-apa sahaja, tetapi janganlah mangsakan mereka yang tidak berdosa,” kata Wee.

Goh hari ini menuntut permohonan maaf daripada Rafizi yang juga wakil rakyat Pandan.

Tiada ulasan: