HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Mei 2017

Daesh: Penternak lembu antara enam ditahan

Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar


KUALA LUMPUR - Penternak lembu antara enam individu yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Daesh

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lelaki berusia 27 tahun ini ditangkap pada Selasa lalu di Rantau Panjang, Kelantan selepas dia tampil menyerah diri.

Menurutnya, lelaki yang bekerja sebagai penternak lembu ini dikehendaki oleh PDRM kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan senjata api untuk kegunaan anggota kumpulan Daesh di Malaysia.

"Suspek telah diarah untuk menyusup masuk ke selatan Thailand melalui Sungai Golok pada Isnin lalu bersama dua pucuk senjata api jenis M4 Carbine dan pistol.

“Tangkapan ini adalah susulan operasi yang dijalankan ke atas anggota kumpulan pengganas Daesh iaitu Nik Razanil Izuan Daud dan Mohammad Sabri Mat Zain yang telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan seterusnya melibatkan pasangan adik-beradik berusia 23 dan 29 tahun yang bekerja sebagai guru agama dan peniaga online ditahan di Perak dan Kedah.

Katanya, kedua-dua mereka ditahan dalam tangkapan berasingan pada kelmarin dan semalam.

“Disyaki mereka ini bertanggungjawab menyokong dan membantu pergerakan Daesh di Syiria melalui Muhammad Fudhail Omar dan Wan Mohd Aquil Wan Zainal. Polis percaya adik-beradik terbabit yang merupakan saudara kepada Muhammad Fudhail yang pernah mengarahkan anggota Daesh melancarkan serangan secara ‘Lone Wolf’ di Sandakan, Sabah, 4 Ogos tahun lalu.

“Muhammad Fudhail juga dijangka akan mengambil alih peranan Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang terkorban dalam serangan drone di Raqqa, Syria pada 29 April lalu,” katanya.

Susulan itu, kelmarin, seorang lelaki berusia 54 tahun merupakan pesara tentera yang berperanan menyalurkan kira-kira RM20,000 kepada Daesh melalui beberapa transaksi ditahan di Kulim, Kedah.

Pada hari yang sama, dua lagi suspek berusia 31 dan 33 tahun ditahan di Selangor dan Kedah kerana terlibat menyokong dan membantu pergerakan Daesh di Syria.

“Keenam-enam mereka akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Tiada ulasan: